MILAN – Selepas mengambil keputusan untuk terus kekal, pengendali Itali, Roberto Mancini akan melakukan rombakan besar-besaran dan membina semula pasukan itu dengan pendekatan berbeza berbanding skuad terdahulu.
Selepas mengambil kira gelaran juara Euro 2020 diraih Mancini, Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) bersetuju untuk mengekalkan khidmat jurulatih itu dengan kontrak sehingga Mei 2026.
“Saya masih muda dan mahu menang kejuaraan Eropah dan Piala Dunia. Pastinya kami perlu menunggu sedikit masa lagi untuk peluang kedua dan saya juga sukakan kerja ini serta yakin pemain mampu melakukan perkara terpenting.
“Di sebalik kekecewaan, kami perlu bermula semula, memulakan kitaran baharu dan kami akan memperkenalkan pemain muda pada saingan Piala Negara-Negara Eropah, Jun ini.
“Berbalik kepada asas, saya juga harap pemain akan mendapat pengalaman ketika bersama kelab masing-masing,” katanya.
Sebelum ini, The Azzurri terus dihimpit malapetaka gagal layak ke Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut selepas tewas 0-1 kepada Macedonia Utara pada aksi playoff kelayakan Piala Dunia 2022.
“Saya sudah bercakap dengan Presiden FIGC dan kami mencapai kata sepakat dalam semua perkara. Kami memiliki masa untuk membincangkan apa yang perlu ditingkatkan lagi selepas ini,” jelas Mancini.
Bagi pemain pertahanan Itali, Leonardo Bonucci, keputusan mengekalkan Mancini adalah tepat dan menyifatkan jurulatih itu adalah individu yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.
“Apa yang dia sudah berikan kepada kami sejak tiga tahun adalah sesuatu yang unik. Untuk meneruskan khidmat jurulatih ini adalah sesuatu yang logik,” katanya. – AGENSi