PETALING JAYA – Selepas kerajaan mengumumkan kebenaran mengadakan majlis perkahwinan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, ramai pengantin baharu mengambil peluang untuk meraikan majlis bersama keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga.
Seperti yang berlaku baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan sebanyak 19 buah khemah telah dipasang oleh tuan rumah bagi meraikan majlis perkahwinan anaknya dan dapat dilihat acara tersebut disambut secara besar-besaran sehingga mencuri tumpuan ramai.
Menerusi perkongsian oleh @farazulkipli di media sosial, dia sempat merakam pandangan dari atas majlis kenduri kahwin tersebut yang diadakan berdekatan kawasan rumahnya.
Apa yang menariknya, apabila khemah yang dipasang memenuhi sepanjang jalan kawasan tersebut dan rata-rata orang ramai menjangkakan jumlah tetamu yang hadir mencecah ribuan orang.
“Ini pasti jemputan dekat 3,000 orang, khemah sampai 19 buah pasang, dah macam pesta makanan, pasti teruja semua tetamu yang hadir,” komen Syakirin Alias.
“Boleh lapar balik tetamu yang hadir sementara nak sampai khemah yang hujung,” seloroh Yantz.
Sementara itu, ada juga pengguna yang tertanya-tanya mengenai kos keseluruhan majlis perkahwinan tersebut kerana pastinya ia melibatkan peruntukan yang banyak.
“Mesti mahal kan, rasanya kalau sewa dewan besar pun lebih jimat, tapi mungkin juga suasana kenduri di rumah lebih seronok dari di luar,” ujar Puteri Lola.
“Ini kenduri balas dendam, dah lama tak boleh buat kenduri dengan suasana meriah macam ini, duit yang keluar pun mesti meriah, apa-apa pun semoga pengantin tersebut bahagia selamanya,” kata Saiful Aliff. – KOSMO! ONLINE