PARIT – Seorang lelaki kurang siuman melecur 80 peratus selepas dipercayai membakar diri di belakang sebuah rumah di Simpang Tiga di sini pagi tadi.
Lelaki berusia 54 tahun itu dikatakan menggunakan petrol untuk membakar diri sebelum terjun ke dalam longkang berair cetek.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi bagi membuat pemeriksaan sebaik menerima laporan pada pukul 10.30 pagi.
“Sebelum kejadian, mangsa yang tidak bekerja dan tinggal bersama kakaknya telah mengamuk sebelum keluar tanpa memberitahu ke mana dia hendak pergi.
“Bagaimanapun, selepas beberapa jam kakak mangsa mendapati mangsa telah membakar dirinya di belakang rumah. Mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE