PETALING JAYA – Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun meluahkan rasa kesalnya terhadap golongan orang muda Islam di negara ini yang sangat mudah terpengaruh dengan hiburan barat.
Beliau dalam satu hantaran di Facebooknya turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi tingkah laku anak mereka, lebih-lebih lagi dalam fasa endemik ini.
Selain itu, Asma turut menegur sikap generasi muda yang memilih untuk mengikuti konsert Justin Bieber dan sanggup menghabiskan wang ringgit mereka sehingga ribuan ringgit semata-mata untuk membeli tiket.
“Wahai adikku, gunakan duit itu ke arah yang lebih bermanfaat,”.
“Harga ratusan atau ribuan ringgit itu sebenarnya boleh digunakan untuk perkara yang lebih baik seperti tampung kos makan minum, yuran pengajian, beli hadiah untuk ibu ayah, bantu adik-beradik atau orang yang lebih memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar masyarakat melibatkan diri dalam program-program keagamaan disamping menghormati bulan Ramadan yang bakal tiba.
Bagaimanapun, orang ramai menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh pendakwah tersebut.
“Nauzubillahiminzalik. Allahuakbar, semoga seluruh anak-anak kita terhindar dan dilindungi dari perkara yang melalaikan dan maksiat. Semoga Allah mengurniakan kita semua petunjuk dan hidayah,” komen Uzai Fuad.
“Beratnya ujian buat ibu ayah zaman ini. Semoga Allah jentik hati anak-anak zaman kini untuk mengingati alam akhirat,” ujar Qaseh Ameera Abdul. – KOSMO! ONLINE