KUALA LANGAT – Sepasang suami isteri warga emas dari Kampung Kelanang di sini menyimpan hajat besar untuk tinggal di rumah sendiri yang dibina di tanah milik mereka.
Ramli Wahab, 71, berkata, tanah berkeluasan 0.3 hektar itu adalah milik harta pusaka keluarganya yang terletak di kampung berkenaan sejak 10 tahun lalu.
Menurut Ramli, dia bersama isterinya, Jenah Tambi, 63, sebelum ini terpaksa berpindah-randah dengan menyewa rumah kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri.
“Saya bekerja sebagai buruh kasar di merata tempat termasuk di Felda demi menampung hidup bersama isteri dan seorang anak tunggal.
“Pendapatan sekadar cukup makan kami sekeluarga menyebabkan impian untuk membina rumah sendiri telah tertangguh sekian lama.
“Selagi masih bernyawa, memang saya dan isteri memasang hajat untuk kami memiliki rumah sendiri yang dibina di tanah pusaka keluarga di kampung ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumah sewanya di Kampung Kelanang baru-baru ini.
Jelas Ramli, bayaran sewa rumah yang diduduki bersama isterinya kini dibayar oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM600 sebulan.
Katanya, anak tunggal mereka yang telah berumah tangga pula kini menginap bersama keluarganya di Tangga Batu, Melaka.
Tambah Ramli, ketika ini keadaan kesihatannya tidak begitu baik selain sering semput dan mempunyai masalah pendengaran.
“Saya juga perlu menjaga isteri yang hanya mampu berkerusi roda selepas mengalami kecederaan di bahagian lutut susulan kemalangan 20 tahun lalu.
“Isteri juga menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Wang saraan kami secara bulanan hanya diperoleh daripada LZS sebanyak RM400 sebulan selain bantuan sewaan rumah yang kami diami.
“Saya harap impian ini akan terlaksana dan kami mohon bantuan orang ramai untuk merealisasikannya,” ujarnya.
Justeru, orang ramai yang ingin membantu pasangan berkenaan boleh mengunjungi mereka di Lot 351 Kampung Kelanang di sini.