fbpx

Bongkah ais gergasi runtuh di Antartika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Imej rakaman satelit menunjukkan bongkah ais itu mencair dan runtuh ke dalam laut di Antartika Timur. – NASA

WASHINGTON – Kesan akibat pemanasan global kini mula berlaku secara nyata apabila imej rakaman satelit menunjukkan bongkah ais bersaiz besar runtuh di Antartika Timur bulan ini, lapor akhbar Metro UK kelmarin.

Bongkah ais Conger bersaiz 1,200 kilometer (km) persegi itu dirakam runtuh ke dalam laut. Saiz tersebut adalah sedikit kecil berbanding saiz keseluruhan kota London.

Runtuhan bongkah ais glasier Conger dan Glenzer itu  menjadikannya kali pertama berlaku dalam sejarah manusia di kawasan sejuk Antartika Timur.

Saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Catherine Walker memuat naik imej tersebut yang diperoleh daripada satelit Landsat dan MODIS.

Rakaman itu menunjukkan bongkah ais tersebut perlahan-lahan menjadi surut sehingga 14 Mac dan pada imej berikutnya iaitu bermula 16 Mac, ia runtuh sepenuhnya.

Runtuhan bongkah ais itu dilaporkan berlaku pada permulaan musim panas bulan Mac apabila suhu meningkat melebihi 40 darjah Celsius, lebih panas daripada beberapa bahagian lain  di Antartika Timur.

Walker berkata, saintis-saintis  tidak pernah melihat fenomena seperti itu berlaku di benua tersebut sekali gus menjadikannya sebagai sesuatu yang dibimbangi.

“Bongkah ais Glenzer Conger mungkin telah berada di situ selama beribu-ribu tahun, namun ia tidak akan berada di situ lagi,” kata saintis ais dari Universiti Minnesota, Peter Neff.

Menurut beberapa saintis, isu utama kepada fenomena itu bukan terletak pada jumlah ais yang hilang dalam runtuhan, sebaliknya lokasi ia berlaku. Ini kerana ia menimbulkan keraguan pada andaian sebelumnya mengenai kestabilan benua Antartika Timur.

Ia adalah penting kerana jika air yang beku di Antartika Timur cair, iaitu satu proses yang mengambil masa selama beribu-ribu tahun untuk terhasil, ia akan meningkatkan kadar air laut di seluruh dunia sebanyak lebih 50 meter. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI