fbpx

Anuar Zain sertai misi kemanusiaan ke Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANUAR ZAIN

SHAH ALAM – Kesengsaraan yang ditanggung mangsa konflik kemanusiaan di Lubnan menyentuh hati penyanyi tersohor, Anuar Zain untuk menyantuni pelarian di negara bergolak berkenaan bersama Syria Care Ramadan nanti.

Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 52, berkata, dia akan berlepas ke Lubnan pada 10 April dan berada di sana selama lapan hari bagi membantu Syria Care mengagihkan bantuan makanan kepada pelarian sepanjang bulan puasa.

Terpanggil menyertai misi berkenaan yang memasuki siri ke-13, pelantun lagu Ketulusan Hati itu berkata, dia terdetik untuk membantu pelarian yang bertahun-tahun lamanya dihimpit dengan kesukaran hidup.

ANUAR akan berlepas ke Lubnan pada 10 April dan berada di sana selama lapan hari bagi membantu Syria Care mengagihkan bantuan makanan kepada pelarian sepanjang bulan puasa nanti.

“Kita ini apabila sudah puas bekerja untuk diri dan keluarga tapi kadang-kadang kita rasa terpanggil, adakah sudah cukup kita membantu dan memberi kesenangan kepada orang lain.

“Dengan adanya Syria Care, saya terpanggil menjayakan misi ini dan kerana keadaan hidup mereka di sana yang sangat susah bukan sahaja dari segi makanan, tempat tinggal juga sukar dari segi emosi,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurutnya lagi, bukan setakat mahu menjadi salah seorang ahli misi kemanusiaan, dia pada masa sama mahu menyuntik semangat kepada para pelarian di Lubnan untuk terus kuat meskipun ujian yang dihadapi sangat getir.

“Saya tidak pasti sama ada akan menangis atau tidak ketika di sana nanti, selalunya orang fikir, kalau kita menangis, kita lemah.

“Niat saya hanya ingin memberikan sokongan emosi dan tidak mahu nampak lemah biar orang nampak kita dalam keadaan begitu profesional,” katanya yang begitu teruja untuk menjejakkan kaki ke Lubnan pada bulan Ramadan dan berpuasa selama 17 jam buat pertama kali dalam hidupnya.

Syria Care menyasarkan dana sebanyak RM225,000 bagi membantu lebih kurang 1,000 keluarga di negara bergolak berkenaan.

Orang ramai yang ingin menyumbang khususnya menaja set iftar serendah RM15 atau pek makanan kering bernilai RM150 boleh berbuat demikian melalui pautan khas Anuar Zain iaitu donate.syriacare.org.my/order/form/oderfood/anuarzain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI