JEDDAH – Meskipun pemandu Red Bull Racing, Max Verstappen kembali meraih kemenangan pertamanya musim ini pada Grand Prix (GP) Arab Saudi awal pagi semalam, namun juara 2021 tersebut mengakui Ferrari mempunyai jentera yang lebih hebat.
Pelumba kelahiran Belanda itu menegaskan, jentera Ferrari 2022 itu sangat pantas terutama di selekoh, sekali gus memaksa dia menggunakan taktik berbeza untuk menyekat pemandunya, Charles Leclerc daripada meraih kemenangan.
Pada perlumbaan itu, pemandu Ferrari, Charles Leclerc yang menjuarai perlumbaan pembukaan di Qatar dilihat tampil cemerlang apabila mendominasi saingan dengan cukup baik.
Verstappen dilihat bersabar dan terpaksa menanti di penghujung perlumbaan untuk melakukan tekanan kepada Leclerc sebelum berjaya memintas pelumba Ferrari tersebut pada baki tiga pusingan terakhir.
“Saya akui ia adalah perlumbaan yang sangat sukar tetapi pada hari ini kami menampilkan aksi cukup baik.
“Kami berhempas-pulas untuk berada di bahagian depan dan terpaksa bersaing dalam satu perlawanan panjang.
“Mereka (Ferrari) memang pantas terutama melepasi selekoh dan itu menyukarkan kami pada perlumbaan ini. Tetapi, kami mempunyai kelebihan terutama di laluan lurus.
“Anda boleh lihat terutama penghujung saingan di mana kami lebih pantas. Jadi, saya cuba bertahan dan saya akui tidak mudah kerana terpaksa menukar strategi sebelum berjaya mendahului saingan,” kata Verstappen.
Leclerc mengakhiri saingan di tempat kedua, manakala rakan sepasukannya, Carlos Sainz menamatkan kedudukan ketiga. Pemandu Red Bull, Sergio Perez yang dijangka menaiki podium sekadar di tempat keempat. – AGENSI