fbpx

Tiada hak nilai orang, Allah jaga aib saya – Saharul Ridzwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAHARUL

PETALING JAYA – Aktif mengikuti kerja dakwah sejak setahun lalu, Saharul Ridzwan menganggap dirinya masih dalam fasa memantapkan rohani ke arah menjadi hamba-Nya yang lebih baik.

Katanya, sebagai insan biasa yang aibnya masih dijaga, dia tidak berhak menilai kelakuan orang sekeliling terutama rakan seperjuangan dalam dunia seni.

“Memang ada ketika terdetik rasa mahu menghakimi orang lain apabila melihat mereka tersilap, tetapi melihat kembali drama yang pernah saya lakonkan, ia sebenarnya peringatan dulu saya bukan individu baik.

“Saya bersyukur kerana sepanjang berlakon dulu saya tidak pernah melakukan babak keterlaluan, kecuali adegan berpegangan tangan dengan wanita. Itu semua memang khilaf sendiri.

“Hakikatnya sampai sekarang Allah masih jaga aib saya. Namun takut juga kalau secara tiba-tiba nanti Allah buka semua kisah lalu yang memalukan kalau saya terlampau rasa diri ini sudah cukup hebat.

“Jadi daripada saya menilai orang lain terutama artis lain, lebih elok kita semua mendoakan yang baik-baik untuk kehidupan hari depan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Saharul yang mula mencuri tumpuan kaki drama menerusi Love You Mr. Arrogant kira-kira 10 tahun lalu turut menyatakan mahu terus berdakwah menerusi cabang seni.

Katanya, biarpun agak jarang muncul di kaca TV kebelakangan ini tidak bermakna dia mahu meninggalkan dunia lakonan bagi memberi fokus terhadap misi tabligh.

“Saya masih terbuka menerima tawaran berlakon kerana minat masih ada dan jika ada kesesuaian watak kenapa tidak. Malah dunia lakonan ada banyak cabang.

“Mungkin saya mahu cuba mengubah arah lakonan saya. Dari genre romantik mungkin ke arah Islamik. Cuma biarpun sejak 2016 saya elak adegan bersentuhan, tetapi untuk berlakon sekarang, saya masih perlu meminjamkan rasa.

“Sekarang saya sedang belajar pergi masjid dan mencintai Nabi. Jadi, apabila kita campur adukkan rasa itu, ia kurang sesuai. Mungkin masuk ke set drama semula bukan sekarang, lagipun saya dan rakan kongsi lain baharu buka restoran HumanGang, Steak House,” katanya lagi.

Restoran makanan barat yang diusahakan bersama pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad serta dua lagi rakan kongsi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, membuatkan langkahnya kini semakin ligat.

Saharul, 33, berkata, pada mulanya, mereka merancang membuka kedai makanan sejuk beku, namun hasrat itu tidak kesampaian disebabkan beberapa kekangan.

“Saya dan Nabil dalam industri sama tetapi kami tidak pernah bekerjasama hinggalah kami berjumpa pada majlis ilmu yang dianjurkan selama tiga hari pada Ramadan tahun lalu.

“Awalnya kami rancang buat perniagaan makanan sejuk beku, namun tidak menjadi. Apa pun perancangan Allah lebih baik apabila akhirnya HumanGang pula direalisasikan dalam tempoh Dua bulan.

“Kami menjalin pula gabungan dengan dua rakan kongsi, malah seorang daripadanya adalah cef yang sudah berpengalaman tiga dekad dalam dunia masakan.

“Saya bersyukur apabila doa untuk memiliki perniagaan sendiri, bukan sekadar projek kolaborasi atau menjadi duta dimakbulkan Allah,” luahnya.

Dalam rancak mengatur urusan perniagaan, aktor tinggi lampai itu bakal menyambut Ramadan di Tanah Suci bersama isteri, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI