JIKA dihitung, pembabitannya dalam bidang seni bukanlah baru setahun dua, malah sudah menjangkau usia lima tahun lamanya.
Memberi salam perkenalan menerusi program realiti Mentor Milenia musim kedua pada 2017 lalu, itulah saat pertama kali gadis muda bernama Syeera Aziz mula membina nama.
Terpilih sebagai protege dan anak didik kepada penyanyi bersuara lantang, Black Hanafiah saat pertama kali menghadiri uji bakat sudah cukup menggembirakannya.
Peningkatan demi peningkatan dilakukan saban minggu bagi memastikan dirinya tersenarai dan mara ke peringkat akhir sekali gus memburu gelaran juara.
Berkat kesabaran dan usaha tanpa putus asa, Syeera berjaya ke pentas akhir, namun gelaran juara yang diidamkan terpaksa dipendamkan apabila sekadar berjaya menduduki tempat keempat.
“Biarpun tidak bergelar juara, tapi itu bukan pengakhiran, sebaliknya sebagai satu permulaan dalam karier nyanyian yang saya minati.
“Terpilih sebagai protege kepada Black pun sudah cukup membahagiakan dan penghargaan buat saya. Bukan senang nak dapat dan bukan saya seorang yang datang uji bakat,” katanya memulakan bicara bersama HibGlam.
Sambung Syeera atau nama sebenarnya Nur Syaheera Abd. Aziz, selepas beberapa bulan mengakhiri program tersebut, dia bertuah kerana berpeluang merakamkan single perdananya berjudul Redhakanlah.
Paling menggembirakan, lagu baharu yang tidak sampai setahun diluncurkan tersebut dipilih menjadi lagu tema bagi drama rantaian 100 episod, Cinta Tiada Ganti siaran Astro.
Ghaib
Entah mengapa, selepas lagu tersebut meningkat naik dan mula dikenali pendengar, tiba-tiba kelibat Syeera seakan-akan ghaib dan hilang dari radar dunia hiburan.
Kehilangannya menjadi tanda tanya peminat, mempersoalkan ke manakah perginya penyanyi kesayangan mereka itu.
Bukan menghilang beberapa minggu mahupun bulan, tetapi dua tahun lamanya bermula awal 2019 hingga penghujung 2020.
“Ya selepas keluar single sulung masa itu, saya ambil keputusan untuk mendiamkan diri seketika. Bukan disebabkan merajuk atau bagaimana, tapi lebih kepada isu peribadi.
“Apa yang saya boleh kongsikan, dahulu berat badan saya lebih 80 kilogram (kg) dan sentiasa jadi mangsa ‘body shaming’ hingga menyebabkan saya kurang yakin untuk terus berada dalam industri.
“Jadi, saya ambil keputusan untuk ‘berehat’ sebentar dan fokus capai misi menurunkan berat badan agar lebih yakin bila berdepan khalayak ramai,” ceritanya.
Sekali lagi, berkat kesungguhan usaha Syeera ternyata berhasil apabila memiliki berat badan ideal 50kg selepas dua tahun berhempas pulas.
Bermula dari situlah, dia mula mendapat beberapa tawaran lakonan dan rezekinya kembali rancak tidak tertumpu kepada satu bidang sahaja.
“Kalau ikutkan, insan pertama yang bawa saya masuk dalam dunia lakonan tidak lain tidak bukan iaitu Black.
“Dialah orang yang mula mengesan bakat lakonan yang saya miliki. Saya sendiri langsung tidak tahu yang saya ada bakat itu,” katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran bagi sebuah telefilem terbitan Astro First yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Janji, bahagi masa
Meneruskan cerita, Syeera yang lahir dan dibesarkan di Shah Alam, Selangor bersyukur selepas membuat ‘kemunculan semula’, rezeki masih berpihak kepadanya hingga ke detik ini.
Biarpun ada mulut-mulut jahat mendakwa Syeera ‘sapu semua’ termasuk nyanyian dan lakonan, tetapi itu tidak dilihat sebagai ‘dosa’ baginya.
“Saya memang dari kecil suka menyanyi. Tapi nak ikutkan zaman sekarang, setakat menyanyi sahaja memang susah.
“Jadi apa salahnya mencuba dalam bidang lakonan juga. Mungkin selepas ini mengacara pula kalau ada rezeki ke arah itu.
“Bagi saya dunia seni ini berlandaskan bakat. Jadi apa saja kita boleh buat dan tiada istilah ‘tapau’ semua seperti yang diperkatakan,” jelasnya.
Tidak sekadar bergelar selebriti, Syeera juga menggalas tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa di salah sebuah universiti swasta terkemuka di peringkat diploma.
“Buat masa ini tiada masalah untuk bahagikan masa antara kerjaya nyanyian, lakonan dan waktu belajar di kolej.
“Pada awalnya agak sukar, tapi alhamdulillah pihak pengurusan iaitu Nova Music dan pensyarah di universiti begitu memahami,” ujarnya yang kini berada pada semesta akhir dan bakal bergraduasi hujung tahun nanti.
Syeera juga bersyukur, rezekinya sebagai penyanyi masih diterima hingga ke saat ini. Buktinya, dia baharu sahaja muncul dengan single keduanya, Panggil Sayang bulan lalu.
Kata Syeera, setelah empat tahun tidak mempunyai sebarang naskhah, akhirnya single terbaharu tersebut berjaya diluncurkan.
“Ini hadiah dan buah tangan buat semua yang masih dan pernah menyokong kerjaya seni saya selama ini.
“Kerana anda jugalah, saya masih terus berdiri di sini dan berjanji untuk tidak lagi hilang seperti sebelum ini,” katanya.
Ditanya pandangan peribadinya mengenai naskhah terbaharunya itu, Syeera berkata, single keduanya itu benar-benar berbeza berbanding single pertama.
“Keunikan yang ada pada lagu ini adalah muzik dan melodinya yang lebih segar selain lirik yang begitu mudah untuk dihafal semua.
“Pada masa sama, lagu ini sangat kena dan sesuai dengan trend lagu masa kini yang boleh digunakan untuk kandungan media sosial. Jadi, bagi saya, ini sebuah karya yang menarik dan wajib didengari,” katanya seraya menoktahkan kata.