IPOH – Hujan lebat dengan angin kencang di beberapa kawasan petang tadi menyebabkan pokok tumbang dan meranapkan khemah peniaga bazar Ramadan di Medan Gopeng.
Beberapa rumah dan kenderaan juga dilaporkan rosak akibat dihempap pokok tumbang.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan antara pukul 3.34 hingga 6.16 petang membabitkan kes pokok tumbang di Ipoh, Gopeng, Kampar dan Bidor.
Bagaimanapun katanya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu
“Antara kawasan yang terlibat adalah Greentown di sini, Kampung Gunung Panjang, Gopeng; Batu Karang, Kampar dan Kampung Poh, Bidor.
“Pasukan daripada balai bomba berhampiran dihantar ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan serta membantu mengalihkan pokok terbabit.
“Laporan yang diterima membabitkan kes pokok tumbang menghempap rumah dan kereta serta merintangi jalan. Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya di sini hari ini. – KOSMO ONLINE