MANAUS, BRAZIL – Pihak berkuasa Brazil menemui cebisan rangka milik seorang pemain sebuah pasukan bola sepak yang diserang kawanan ikan piranha selepas dia terjatuh ke dalam sebatang sungai, lapor akhbar Daily Star semalam.
Mayat Luiz Henrique Coelho de Andrade, 21, ditemui dalam keadaan mengerikan dan sukar dikenali pada Sabtu lalu.
Menurut laporan, anggota-anggota polis memaksa Andrade terjun ke dalam Sungai Rio Negro dan melepaskan beberapa das tembakan kerana menyangka dia ialah penjenayah yang dikehendaki.
Seorang lelaki lain yang mendayung sampan di kawasan berhampiran cuba menyelamatkan Andrade, namun dihalang oleh polis.
Menurut ibunya, Leila Coelho, anaknya sebelum itu disedari hilang dari Educandos di bandar Manaus, 11 jam sebelum mayatnya ditemui.
Dia mendakwa bahawa anggota-anggota polis mengarahkan Andrade terjun ke dalam sungai meskipun tahu dia tidak tahu berenang serta melepaskan tembakan ke arahnya bagi memaksanya terjun.
Sesetengah media tempatan bagaimanapun melaporkan bahawa anggota polis yang terlibat ketika itu sedang mengejar sekumpulan penjenayah, manakala Andrade terjatuh ke dalam sungai ketika cuba mengelak mereka.
Pasukan polis dan bomba yang turut serta dalam misi mencari pemain bola sepak itu akhirnya menemui mayat mangsa di Sungai Rio Negro.
Beberapa imej yang dikongsikan menunjukkan kesan gigitan ikan piranha yang mengoyak daging Andrade serta tulangnya yang ditemui tersangkut pada jala ikan.
Pihak polis telah mengarahkan keluarga lelaki itu untuk membuat aduan kepada Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri Sistem Keselamatan Awam berhubung dakwaan mereka. – AGENSI