fbpx

PTPTN lancar aplikasi mudah alih MyPTPTN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tengah) selepas merasmikan pelancaran aplikasi mudah alih MyPTPTN di sini hari ini.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan aplikasi mudah alih dikenali sebagai MyPTPTN bagi memudahkan urusan pelanggannya di sini hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pelancaran MyPTPTN ini menyaksikan kejayaan PTPTN dalam membangunkan aplikasi mudah alih yang dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negara ini khususnya pelanggan PTPTN.

“Pendekatan PTPTN dalam memperkenalkan aplikasi mudah alih ini sangat tepat dengan aspirasi pendigitalan kerajaan dan dalam masa sama menambah kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Saya juga percaya usaha PTPTN ini didukung kukuh dengan pelan strategik yang sudah memasuki tempoh lima tahun sejak tahun 2021 dimana salah satunya memfokuskan pada pendigitalan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran MyPTPTN di sini hari ini.

Katanya, PTPTN sentiasa memastikan mutu perkhidmatan berada pada tahap terbaik dengan sering menambah baik sistem dalam talian yang dapat memudahkan pelanggan.

“Sehingga tahun 2021, sebanyak tujuh saluran dalam talian telah diperkenalkan yang memudahkan pelanggan tanpa perlu ke kaunter selain mengintegrasikan semua kemudahan dalam sebuah sistem.

“Saya percaya aplikasi mudah alih ini sememangnya dinantikan seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada lebih 3.6 juta peminjam PTPTN. Jika dahulu pelanggan perlu melayari portal untuk melakukan urusan bayaran atau urusan lain, kini semuanya lebih mudah apabila ia diperkenalkan dalam satu aplikasi,” ujarnya.

Antara kelebihan aplikasi MyPTPTN ini ialah lebih mesra pelanggan, transaksi lebih selamat, boleh diakses dimana-mana tanpa sempadan dan menjimatkan masa. Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play dan Apple App Store.

Selain itu, kemudahan yang disediakan dalam aplikasi ini melibatkan pembukaan akaun simpanan SSPN, penambahan deposit simpan SSPN, pindahan deposit simpan SSPN, permohonan potongan gaji dan semakan penyata simpan SSPN.

MyPTPTN juga dilengkapi ciri-ciri keselamatan terkini bagi memastikan keselamatan pelanggan seperti pengesahan sebelum urus niaga, pengesahan e-mel, nombor telefon semasa pendaftaran. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI