PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang menjalankan siasatan berhubung video tular yang memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam syarikat memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka.
Prasarana dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan bahawa si pemukul adalah kakitangan Prasarana berdasarkan pakaian seragam yang dipakai di dalam video itu.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil makanan tanpa membayar di kedai serbaneka tersebut.
“Tindakan si pemukul adalah bertentangan dengan kod etika kerja Prasarana. Justeri itu, siasatan serta-merta sedang dilakukan berkenaan insiden itu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dalam apa jua situasi, jika memerlukan bantuan lanjut, ia sepatutnya dipanjangkan kepada pihak berkuasa.
“Prasarana memohon maaf atas kejadian terbabit dan menjamin tindakan susulan yang bersesuaian akan diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak akan berulang di masa hadapan,” katanya.
Sesiapa yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian boleh menghubungi talian 03-78852585 atau emel ke [email protected]. – KOSMO! ONLINE