KLANG- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memerlukan 175 buah balai bomba lagi di seluruh negara untuk memastikan operasi mereka lebih pantas dan efisien.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ini adalah selaras harapan memiliki 500 balai bomba di seluruh negara pada 2030 dengan setakat ini hanya ada 325 buah.
“Keperluan membina balai bomba baharu ini berdasarkan 21 kriteria seperti jumlah penduduk, jumlah bangunan serta panggilan di sesebuah kawasan.
“Kesemua kriteria ini akan disemak oleh pasukan bomba setiap lima tahun dengan kali terakhir semakan dibuat bagi keperluan tersebut adalah pada tahun 2015,” katanya selepas merasmikan Pos Kawalan Bomba (Fire Pos) Pulau Indah, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.
Kata beliau, kewujudan pos kawalan kekal pertama di Selangor itu amat diperlukan bagi memendekan tempoh masa respon anggota bomba dalam sebarang kejadian di sekitar Pulau Indah.
Mohammad Hamdan menjelaskan sebelum ini pihaknya memerlukan masa kira-kira 25 minit daripada balai terdekat iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang untuk tiba di pulau tersebut.
“Peruntukan masa yang lama akibat jarak balai bomba yang agak jauh akan menyukarkan operasi pihak kami,” ujarnya.
Justeru, beliau menzahirkan penghargaan kepada syarikat Central Spectrum Sdn. Bhd. (Central Spectrum) yang menyediakan bangunan untuk dijadikan pos itu,l dengan caj sewa RM10 setahun.
“Kita berharap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat besar di negara ini turut sama membantu menyediakan pos kawalan bomba bagi memudahkan sebarang operasi pihak bomba,” katanya.-KOSMO! ONLINE.