PETALING JAYA – Kerajaan akan mengukuhkan kerjasama sedia ada bersama negara-negara ASEAN untuk menambah baik dan meningkatkan agenda keselamatan siber serantau.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, usaha kolaboratif seperti perhimpunan inisiatif pelbagai pihak berkepentingan wakil daripada semua institusi keselamatan siber dan kerajaan yang berkaitan perlu diperluaskan.
“Ini termasuklah agensi dengan wakil daripada sektor swasta termasuk syarikat swasta, sektor perbankan, universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan latihan ujian siber di peringkat kebangsaan.
“Tindakan kerjasama ini sudah pasti akan mengeratkan lagi hubungan antara negara Asia dan memberi pemahaman yang lebih umum tentang cara mengendalikan serangan siber di rantau Asia Tenggara,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, di sini hari ini.
Pada masa yang sama, sebuah Buku Jenayah Siber di Malaysia: Impak Leluasa Internet terbitan Institut Awam Keselamatan Malaysia (IPSOM), Kementerian Dalam Negeri dilancarkan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Katanya, aktiviti jenayah siber perlu ditangani segera kerana dikhuatiri akan memberi impak lebih besar kepada sektor ekonomi digital serta menimbulkan ancaman kepada negara. – KOSMO! ONLINE.