PASIR MAS – Seorang pengedar dadah ditahan bersama 800 biji pil kuda semasa cuba melarikan diri semasa menunggang motosikal di jalan Kampung Tanjung Chenak – Bunut Susu di sini petang semalam.
Lelaki berusia 23 tahun itu dicekup kira-kira pukul 6 petang selepas bergelut dengan anggota polis semasa cuba melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, polis menerima makmumat mengenai kegiatan pengedaran dadah sebelum menahan suspek yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Ego dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, semasa ditahan, suspek telah bertindak melompat daripada motosikal itu untuk melarikan diri, namun polis berjaya menahan lelaki berkenaan sebelum berlaku pergelutan.
“Semasa pergelutan, anggota polis telah melihat suspek mencampakkan sesuatu daripada tangan kanannya di atas jalan di kawasan tersebut.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi itu telah membawa kepada penemuan satu bungkusan kertas berwarna kuning yang mengandungi pil kuda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, suspek mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya dan memperoleh bahan terlarang itu daripada seorang lelaki di Tendong di sini.
Katanya, siasatan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkait kes dadah dan usaha mengesan individu yang memberi bekalan pil kuda itu kepada lelaki berkenaan sedang giat dijalankan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -KOSMO! ONLINE.