PETALING JAYA – Menjelang kedatangan bulan Ramadan minggu depan, para peniaga mula menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan untuk pembeli terutamanya mereka yang beragama Islam.
Menariknya, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan itu kadang-kadang tidak masuk akal, namun ia memang wujud di pasaran seperti pakej untuk kejutkan orang bangun sahur.
Menjengah ke sebuah platform perniagaan dalam talian, pakej tersebut sememangnya wujud dan beberapa peniaga menawarkan pakej tersebut dengan harga yang berbeza.
Seperti contoh, seorang peniaga dikenali dengan ti2gfk6oaj menawarkan pakej kejut sahur dengan harga bermula RM15 sehingga RM50.
Antara pakej yang ditawarkan adalah kejut sahur bagi yang single (bujang), chat (mesej) RM15, voice (mesej suara) RM20 dan call (telefon) RM25.
Selain itu, peniaga tersebut turut menawarkan pakej istemewa kepada pelanggan iaitu pakej tambah nilai yang menawarkan perkhidmatan mesej dan telefon dengan panggilan manja seperti baby atau sayang kepada pelanggan dengan harga RM50.
Seorang lagi peniaga dalam talian dikenali sebagai erykaaa96 turut menawarkan pakej kejut sahur dengan harga bermula RM2 sehingga RM100.
Menurut peniaga tersebut, bagi pakej harian sama ada kejut sahur itu dibuat menerusi mesej, mesej panggilan dan telefon, harga hanya RM2 sehari.
Bagaimanapun, jika pelanggan mahu melanggan perkhidmatan itu untuk sebulan harganya boleh mencecah RM50.
Sementara itu, bagi perkhidmatan panggilan ‘oncall’ pula, harganya bermula RM5 untuk harian dan RM100 bagi langganan sebulan.
Jelas peniaga itu lagi, pelanggan boleh menetapkan waktu untuk mereka dikejutkan bangun sahur, bagaimanapun waktu itu tidak boleh diubah selepas melanggan.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di sebuah platform perniagaan dalam talian mendapati kira-kira 10 individu menawarkan perkhidmatan kejut sahur terbabit dengan pelbagai pakej dan tawaran yang menarik -KOSMO! ONLINE.