fbpx

Mudarat ‘tersembunyi’ trend global mukbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Ketika krisis telur ayam sekitar bulan lalu, seorang kenalan memuat naik di Facebooknya video seorang wanita yang melahap mi dengan gelojoh termasuk 21 biji telur rebus sekali gus dalam tempoh kurang dua minit.

“Kamu tengok video ni mesti ingat orang ni bela saka harimaukan? Tapi malangnya tidak. Dia kurus kedengking tapi nafsu makan dia macam gajah.

“Pernah dengar tak penyakit mental namanya Bulimia Nervosa? Golongan ni ada perangai makan binge eating (makan gelojoh dan banyak) tapi lepas itu akan muntahkan semula makanan tersebut.

Tak kisahlah pakai jolok tekak atau laxative. Terukkan perangai mereka?” tulisnya yang juga seorang doktor.

Penulis tidak pasti benarkah dakwaan penyakit itu, cuma tertarik mengupas trend global melahap di depan lensa video masa kini atau lebih dikenali sebagai mukbang. Kini, ramai orang turut membuat duit menerusi kandungan sebegini di YouTube.

Daily Mail melaporkan minggu lalu seorang wanita Kanada, Naomi Grace MacRae meraih pendapatan tujuh angka setahun dengan hanya mengunyah himpunan makanan.

Apa dia mukbang ini? Mukbang sebenarnya satu trend dimulakan di Korea Selatan pada tahun 2009 dan perkataan itu adalah kombinasi dua perkataan Korea iaitu mukja (makan) dan bangsong (siar).

Mukbang tercetus daripada tradisi masyarakat Korea yang lazim makan bersama keluarga dan janggal makan berseorangan, namun disebabkan dunia hari ini yang serba sibuk menjadikan mereka makan di depan kamera untuk tatapan orang lain.

Dari Korea Selatan, trend itu berjangkit ke seantero dunia sehingga menjadi fenomena terutama sekitar Asia, Eropah dan Amerika. Macam-macam makanan dipersembahkan untuk ‘dicekik’ daripada himpunan makanan laut, daging, pastri, burger, mi, makanan segera, katakanlah apa saja makanan yang wujud di dunia nan fana ini.

Di sebalik kerakusan menyumbat tembolok dengan 4,000 hingga 10,000 kalori, isu kesihatan menjadi antara perdebatan mengenai kegilaan online ini. Mukbang telah dikritik kerana menormalkan tabiat pemakanan secara berlebihan.

Bintang mukbang, pada 2019, Nicholas Perry atau Nikocado Avocado berkongsi, biarpun dia meraih populariti dan pulangan lumayan, namun ada mahar perlu dibayar apabila tabiat itu menjejaskan kesihatannya meliputi masalah pertambahan berat badan, mati pucuk dan kerap cirit-birit.

“Saya mula alami masalah mati pucuk yang tak pernah dialami sebelum mukbang. Saya rasa organ penghadaman saya seperti terbakar, saya terduduk menangis di tandas,” dedahnya kepada Men’s Health.

Seorang wanita China pula, Tieu Nam setelah berterusan menyumbat makanan dalam amaun yang begitu besar akhirnya mengumum persaraan daripada mukbang setelah tabiat itu mendatangkan pelbagai masalah kesihatan kepadanya termasuk hilang terus nafsu makan dan timbul naluri yang makan suatu perbuatan menjengkelkan.

Lebih buruk, terdapat juga kes kematian. Tahun lalu, seorang pembuat kandungan mukbang, Omar Palermo, 42, maut akibat serangan jantung dan seorang pembuat kandungan mukbang China, Sun Yixuan mati pada usia 19 tahun kerana pendarahan otak, salah satu jenis strok. Lain pula halnya pada tahun 2019 apabila seorang YouTuber wanita Jepun mati tercekik semasa rakus ‘melantak’ onigiri (bebola nasi) sewaktu bersiaran live.

Ternyata, jika tidak berjaga-jaga, rezeki yang dijadikan ‘sumber rezeki’ itu juga boleh meragut ‘rezeki’ yang lain iaitu nikmat sihat dan kehidupan.

Bukan sahaja kepada pengamal mukbang, penonton juga boleh menerima kesannya. Kajian Liverpool of University turut mendapati penonton mukbang juga cenderung mengambil makanan tidak berkhasiat selepas menontonnya.

Sempena Ramadan bakal tiba, harapnya kita semua berwaspadalah dalam pengambilan makanan. Janganlah kita gelojoh dan makan tak ingat dunia kala berbuka puasa. Amalkanlah bersederhana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI