PORTO – Ketua jurulatih North Macedonia, Blagoja Milevski yakin anak-anak buahnya mampu mencipta kejutan terbesar dengan menewaskan satu lagi bekas juara Eropah 2016, Portugal.
Macedonia Utara sebelum ini menggegarkan arena bola sepak dunia selepas menang 1-0 ke atas Itali, sekali gus menyingkirkan juara bertahan Eropah itu untuk layak ke Piala Dunia Qatar 2022.
Kemenangan itu membolehkan North Macedonia bertemu Portugal untuk merebut satu slot ke Qatar dalam aksi playoff terakhir zon Eropah di Estadio do Dragao awal pagi esok.
“Kami pernah menang ke atas salah satu pasukan terbaik di dunia iaitu Itali. Kami tidak mahu berhenti kerana masih ada satu langkah untuk ke Piala Dunia.
“Sekarang peluang untuk kami membuktikan mengapa kami layak dianggap sebagai 20 pasukan terbaik dari benua Eropah,” kata Milevski.
Ia bukan perkara mustahil buat North Macedonia kerana selain Itali, Jerman juga pernah dikalahkan mereka dengan keputusan 2-1 sewaktu aksi kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 peringkat kumpulan pada April 2021.
Sebagai rekod, pasukan ranking ke-67 dunia itu sebelum ini layak beraksi buat kali pertama di Kejohanan EURO 2020, namun terkandas di peringkat kumpulan.
Kali ini, North Macedonia mahu mencipta satu lagi sejarah baharu dengan membuat kemunculan pertama di pentas Piala Dunia selepas tidak lagi bernaung di bawah nama Yugoslavia sejak 1994. – AGENSI