KETUA jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele mengakui anak-anak buahnya, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menampilkan aksi bawah prestasi sebenar ketika tewas pada perlawanan akhir kejohanan badminton Terbuka Switzerland malam kelmarin.
Pada aksi yang berlangsung di St. Jakobshalle itu, Sze Fei-Izzuddin akur dengan kekalahan straight set 18-21, 19-21 kepada wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam tempoh 48 minit.
Flandy berkata, beregu yang berada pada ranking ke-18 dunia itu tidak menampilkan aksi terbaik selain melakukan banyak kesilapan mudah sehingga menghadiahkan mata percuma kepada lawan.
“Secara keseluruhan, kedua-dua beregu menampilkan aksi cukup baik tetapi Malaysia kurang beri tekanan kepada pihak lawan selain ada kesilapan mudah yang dilakukan sepanjang perlawanan.
“Selain itu, saya akui kita juga banyak berikan mereka mata mudah kerana bulu tangkis sering tersangkut di jaring. Mungkin ada banyak yang perlu diperbaiki tetapi perkembangan mereka cukup baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kekalahan itu sekali gus menyaksikan hasrat Sze Fei-Izzuddin untuk merangkul gelaran kedua musim ini tidak tercapai selepas memenangi kejohanan Terbuka Jerman dua minggu lalu.
Pada masa sama, pengendali dari Indonesia itu memberi jaminan untuk membantu beregu tersebut bagi meningkatkan kualiti permainan sebagai persediaan ke arah saingan Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand Mei depan.
“Kejohanan seterusnya selepas ini adalah Piala Thomas, jadi banyak yang perlu diperbaiki. Pada perlawanan semalam (kelmarin), mereka boleh menang ke atas lawan tetapi bermain kurang agresif.
“Pertemuan terakhir sebelum ini mereka mampu membuatkan Fajar dan Rian bermain dalam keadaan tidak menentu kerana sentiasa berikan tekanan sehingga berjaya catat kemenangan,” ujar Flandy.