SHAH ALAM – Komponen nanas seperti kulit, mahkota dan empulur (core) yang dipenuhi enzim bromelain diaplikasi sepenuhnya menjadi bahan utama produk kecantikan dan penjagaan kulit, Ensutouch.
Enzim bromelain yang bermanfaat sebagai ejen pemutihan, anti penuaan, anti radang, ejen pelembab dan anti oksida amat bersesuaian untuk meremajakan kulit ditemui menerusi kajian dan penyelidikan serta pemindahan teknologi lebih dua tahun oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia atau SIRIM Berhad.
Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidik Bioteknologi Perindustrian SIRIM, Dr. Nurul Izza Nordin berkata, Ensutouch merupakan produk penjagaan kulit pertama yang dihasilkan dengan teknologi enzim daripada bahan biomass nanas yang terbukti selamat, berkesan dan berkualiti.
“Penghasilan produk kecantikan dan kesihatan itu menggunakan teknologi hijau melibatkan pemprosesan biojisim komponen nanas tanpa penggunaan bahan kimia berbahaya,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Nurul Izza memberitahu, kelebihan produk Ensutouch juga mampu meningkatkan kelembapan kulit sebanyak 40 peratus dalam tempoh enam jam dan sangat sesuai serta bermanfaat kepada pengguna selaras dengan cuaca di negara ini.
Tambah beliau, kesan kelembapan pada kulit juga dapat dikesan serta-merta dan kesan lebih baik dapat dilihat dalam tempoh kurang daripada tiga jam.
“Enzim bromelain juga menjadi pemangkin kepada proses rejuvinasi kulit untuk penggantian sel kulit baharu yang lebih cepat seterusnya menghasilkan kulit lebih segar dan anjal,” tegasnya.
Bagi Pengerusi Eksekutif merangkap pengasas Ensu Lifesciences Sdn. Bhd., Dr. Suhana @ Husin Misnan berkata, pihaknya melihat potensi tinggi dengan ramai tidak mengetahui kelebihan biomass nanas yang mampu dijadikan nilai tambah berbanding terbuang menjadi makanan ruminan dan baja.
Menurut beliau, biomass terhasil daripada industri bukan pertanian.
Sehubungan itu, beliau mengambil pendekatan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terutama petani nanas tradisional yang berkemungkinan pada masa depan akan menjadi peraih dalam mengambil komponen kulit dan jambul nanas itu berbanding sekarang hanya dibuang begitu sahaja.
“Pelaburan penyelidikan produk dan pemindahan teknologi ini berjumlah kira-kira RM700,000 termasuk menerusi geran SIRIM Fraunhoufer dengan kita mahu Ensutouch menjadi produk pada masa depan.
“Kerjasama dengan SIRIM memberi kelebihan kerana ia adalah satu badan yang berintegriti dalam jaminan kualiti seterusnya menambah keyakinan kepada pengguna Ensutouch terhadap jaminan keselamatan dan keberkesanan produk dibuktikan dengan data serta ujian klinikal,” katanya.
Suhana menjelaskan, lebih membanggakan produk Ensutouch yang mula dilancarkan pada 13 Mac 2019 telah mendapat pengiktirafan awal dengan memenangi Anugerah Perak Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) pada 2018.
“Produk ini juga mendapat sambutan memberangsangkan dalam pameran di Bangkok, Thailand; Korea dan Taiwan.
“Kita juga dibimbing oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk pemasaran di sana. Namun, fokus utama di sekitar negara-negara Asia Tenggara.
“Bagi mendapatkan jaminan kawalan mutu yang seragam, kita mendapatkan bekalan biomass nanas dari jenis MD2 hanya dari Kulim Pineapple Farm yang memiliki sijil Amalan Pertanian Baik (GAP) yang merupakan anak syarikat Johor Corporation (JCorp).
“Kami percaya bahawa produk berkualiti tentunya adalah daripada bahan mentah yang berkualiti,” jelasnya.
Menyentuh produk Ensutouch yang telah berada di pasaran, Pegawai Pemasaran Ensu Lifesciences Sdn. Bhd., Samhan Mohd. Yusoff menjelaskan setakat ini ada lima produk iaitu serum, pencuci muka, ‘sleeping mask’, essence dan bedak asas dengan sasaran pelanggan dari usia remaja dan ke atas.
Ujarnya, penjualan dalam tempoh enam bulan pertama selepas dilancarkan mencecah sehingga RM1 juta dan pada tahun 2020 mencatatkan jualan sebulan lebih RM2 juta direkodkan.
“Kita telah mempunyai lebih 300,000 pengguna setia yang cukup yakin dengan produk yang mempunyai tahap kualiti antarabangsa.
“Bagi tiga produk iaitu serum, pencuci muka dan sleeping mask hanya pada harga RM219 dan mampu boleh digunakan dalam tempoh dua bulan bergantung kepada penggunaan.
Kita juga turut menawarkan harga promosi RM90 sahaja bagi kombinasi produk itu untuk travel pack katanya.