LONDON – Pemain tengah Chelsea, Mason Mount tanpa berselindung mengakui bimbang dengan situasi semasa The Blues selepas pemiliknya, Roman Abramovich mahu menjual kelab tersebut.
Taikun dari Rusia itu terpaksa melepaskan kelab kesayangannya selepas kerajaan Britain mengenakan sekatan terhadapnya kerana memiliki hubungan rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Meskipun segala asetnya dibekukan, namun ahli perniagaan itu masih diberikan lesen oleh kerajaan Britain bagi melakukan urusan jual beli untuk mencari pemilik baharu Chelsea.
“Saya sudah berada di kelab ini sejak berusia enam tahun dan perkara seperti ini tidak pernah terjadi. Oleh itu, saya agak bimbang dengan keadaan semasa.
“Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku dengan situasi semasa. Apabila menjalankan tugas bersama England, saya dapat lupakan seketika perkara tersebut,” kata Mount.
Justeru, pemain berusia 23 tahun itu berharap apabila dia kembali daripada tugasan antarabangsa nanti, perkara tersebut dapat diselesaikan demi keharmonian pasukan.
“Saya fikir tempoh rehat ini sangat baik untuk pasukan kerana membolehkan perkara itu diselesaikan dengan segera. Saya harap kami akan dapat jawapan apabila kembali ke kelab,” ujarnya. – AGENSI