IPOH – Lebih 30 rumah penduduk di sekitar Simpang Pulai dan Gopeng mengalami kerosakan akibat hujan lebat lebih dua jam yang berlaku petang semalam.
Antara terjejas ialah kawasan perumahan sekitar Kampung Rapat Jaya dan Rapat Jaya Tambahan.
Naib Pengerusi MCA Bahagian Gopeng, Cally Ting berkata, sehingga malam tadi sebanyak 10 kediaman terjejas telah dilawati bagi melihat kerosakan dan menilai kerugian.
“Ada kediaman penduduk yang tercabut zink kerana diterbangkan angin selain kerosakan kecil lain.
“Pihak kami akan membuat bancian bagi mengetahui jumlah kerugian sebenar dan akan mendapatkan bantuan yang sewajarnya,” ujarnya ketika dihubungi. – KOSMO! ONLINE.