SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah hampir RM500,000 berhubung keterangan palsu 10 tahun lalu.
Tertuduh Low Khim Seong, 54, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan RM500,000 daripada seorang peguam berpangkat Datuk sebagai dorongan untuk memberi keterangan palsu.
Keterangan itu kelak akan memihak kepada peguam berkenaan dan seorang lagi lelaki, yang terlibat dalam perbicaraan kes di Mahkamah Kuala Lumpur.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa masing-masing bersetuju menerima suapan RM300,000 dan menerima suapan RM150,000 daripada peguam tersebut untuk tujuan sama.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran dan sebuah premis di Petaling Jaya dan Bandar Sunway, di sini pada 14, 16 serta 24 Mei 2012 yang didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin, bagi kesemua pertuduhan.
“Jumlah itu adalah munasabah kerana dia berdepan tiga pertuduhan yang serius dan ia akan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah hingga kes selesai.
“Pendakwaan juga memohon agar dia dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Geethan Ram Vincent merayu, agar mahkamah dapat memberi kadar ikat jamin yang lebih munasabah memandangkan anak guamnya perlu menyara isteri dan anak-anak.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE