PUTRAJAYA – Seramai 552 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 menduduki peperiksaan tersebut untuk sesi kedua di sini yang akan bermula pada 5 April hingga 19 Mei depan.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Farizah Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 359 calon bersekolah di sini manakala selebihnya ialah calon yang tinggal di Putrajaya tetapi bersekolah di tempat lain.
“Daripada 359 calon di Putrajaya, seramai 337 calon sebelum ini disahkan positif Covid-19. Dalam masa sama, ada calon yang belajar di luar Putrajaya seperti di negeri lain dan mereka menduduki peperiksaan di sini, jadi tidak perlu pulang menduduki SPM di sekolah mereka.
“Kesemua calon SPM untuk sesi kedua ini akan menjalani peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1). Hanya satu pusat peperiksaan dibuka berbanding SPM sesi pertama,” katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan SPM Tahun 2021 di SMK Putrajaya Presint 9(1) di sini hari ini.
Ditanya mengenai persediaan untuk sesi kedua ini, beliau berkata, ia sama seperti SPM sesi pertama dan diharap segala proses berjalan dengan lancar.
“Seramai 11 guru akan ditugaskan sepanjang peperiksaan kali ini yang diketuai oleh dua guru,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE