fbpx

Wooi Yik masih bergelut kesan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GANDINGAN Aaron dan Wooi Yik terpaksa akur apabila mereka terkandas di separuh akhir Terbuka Switzerland kepada pasangan dari Indonesia. – BADMINTON PHOTO

HASRAT beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk melangkah ke pentas final pertama mereka tahun ini tidak kesampaian apabila tersingkir di peringkat separuh akhir Terbuka Switzerland.

Gandingan pemenang pi­ngat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu disingkirkan oleh beregu No.9 dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 20-22, 21-13, 8-21 di St. Jakobshalle, Basel awal pagi semalam.

Wooi Yik, 24, tampil menjelaskan situasi dengan mendakwa dia tidak berada pada tahap terbaik sejak dijangkiti virus Covid­-19 baru-baru ini sehinggakan terpaksa menarik diri daripada Terbuka Jerman pada 8 Mac lalu.

Pemain dari Kuala Lumpur itu memberikan kenyataan dan memohon agar diberikan masa untuk kembali mencapai tahap terbaiknya menerusi satu hantaran di laman sosial Instagram miliknya semalam.

“Sejak kecil saya berada dalam ‘dunia’ ini dan kadang-kadang saya terlalu berfikir, gelisah dan hilang arah. Segala kekuatan dalam badan saya hilang sejak ­virus itu (Covid-19).

“Saya sedar ia boleh menjadi masalah besar tetapi saya tidak boleh menyerah kalah. Saya tidak boleh berehat kerana kadang-kadang hidup ini bukan hanya mengenai diri saya sendiri.

“Saya berterima kasih kepada pasangan saya kerana memberikan segala-galanya membantu saya mendapatkan semula tahap terbaik. Saya akan kembali tetapi tidak pasti berapa lama masa perlu diambil,” katanya.

Turut terkandas di separuh akhir Terbuka Switzerland itu ialah beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien selepas tewas 10-21, 16-21 kepada Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria.

Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga kempunan ke final selepas kalah 17-21, 22-24 kepada satu lagi wakil negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI