fbpx

THT, TNB berentap di final Piala TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL (kiri) muncul wira THT apabila meledak gol kemenangan 1-0 ke atas UiTM HA pada aksi separuh akhir kedua Piala TNB di Stadium Hoki Nasional hari ini. - MHC

KUALA LUMPUR – Pasukan Hoki Terengganu (THT) berada pada landasan tepat untuk merangkul kejuaraan trebel musim ini selepas mara ke pentas final Piala TNB.

Kejayaan itu hadir selepas THT yang sudah menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia, menewaskan UiTM HA 1-0 pada separuh akhir kedua Piala TNB di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Gol tunggal THT dalam perlawanan itu diperoleh menerusi penyerang prolifik skuad kebangsaan, Faizal Saari selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-27.

Ia sekali gus membolehkan skuad bimbingan Roslan Jamaluddin itu menempah tiket final Piala TNB dengan keputusan agregat 2-1 selepas terdahulu seri 1-1 dengan UiTM sewaktu separuh akhir pertama pada Jumaat lalu.

Lawan THT di final Piala TNB pada Khamis ini adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mencatat keputusan agregat 6-3 ke atas Maybank selepas menang 5-1 dalam aksi separuh akhir kedua hari ini.

Lima gol TNB dijaringkan dua oleh Azrai Aizad Abu Kamal dan masing-masing satu daripada Azril Misron, Muhammad Shahril Saabah dan Norsyafiq Sumantri.

Maybank pula terpaksa akur gagal ke final selepas cuma menjaringkan satu gol hari ini menerusi Muhammad Haziq Samsul walaupun terdahulu menang 2-1 sewaktu separuh akhir pertama.

Ia bermakna Maybank perlu menerima hakikat bersaing penentuan tempat ketiga Piala TNB menentang UiTM HA pada Khamis ini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI