fbpx

Lama ‘hilang’, Keith Foo kini kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEITH FOO

JIKA dahulu, Keith Foo antara pelakon dan hero yang berada di puncak populariti menerusi banyak naskhah lakonan popular yang melonjakkan namanya.

Satu saat, perlahan-lahan namanya sedikit malap dek persaingan yang wujud selain ‘kehilangan’ dirinya selama dua tahun selepas bercerai pada Disember 2019.

Sepanjang tempoh tersebut, muncul wajah baharu yang menjadi pelapis,sekali gus meletakkan hero berusia sepertinya sedikit terkebelakang.

Bertanya tentang situasi tersebut kepadanya, Keith akui tidak pernah gusar tentang kedudukan sebagai hero diambil alih pelapis baharu kerana itu sememangnya resam dunia hiburan.

Cuma jika mahu kembali menempatkan diri dalam industri serta kekal relevan, kata Keith, semuanya berbalik kepada diri sendiri sama ada sanggup atau tidak bermula sekali lagi dari bawah.

“Saya pernah cakap pasal isu ini. Semuanya bergantung kepada kemahuan sendiri macam mana nak ‘bounce’ semula dalam industri agar diterima berlakon.

“Bagi saya, tak ada masalah pun kalau bermula semula dari awal. Maksudnya, kalau diberi watak apa pun, saya tak kisah. Sebab nak buat kemunculan semula kan, jadi ambil saja.

“Contohnya saya pernah jadi hero kedua dalam drama Diari Seorang Suami di samping Afieq Shazwan dan Yuna Rahim. Saya ambil saja tawaran itu sebab yang penting, nak ‘maintain’ dalam industri,” katanya ketika ditemui usai majlis tayangan filem terbaharu lakonannya, Autumn In Wales di ibu kota baru-baru ini.

Pelakon datang dan pergi. Ada waktu ketika berada di atas, mereka dijulang dengan populariti melangit dan tawaran bertimpa-timpa sehingga adakalanya tak menang tangan.

Sampai waktu, populariti mula merudum sehingga kelibat mereka tidak lagi atau kurang muncul dalam televisyen.

SINONIM dengan watak dan naskhah cinta, kali ini Keith mempertaruhkan sisi berbeza apabila tampil dalam sebuah filem romantik komedi berjudul Autumn In Wales. – SHIDDIEQIIN ZON

Tenggelam timbul

“Kebiasaannya memang macam ini, orang fikir saya tak berlakon. Sebenarnya, saya sangat sibuk dengan penggambaran, baru bulan ini ada waktu senggang untuk berehat. Sebenarnya saya tunggu banyak drama yang masih belum ditayangkan.

“Dua tahun sejak pandemik melanda, saya memang tidak berhenti bekerja. Cuma ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kerja-kerja penggambaran terganggu, jadi banyak projek lain ditunda ke depan,” kata Keith.

Buat masa ini, Keith muncul dalam filem romantik komedi Autumn In Wales terbitan Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd. yang mula bersiaran menerusi Pawagam Rumah

Anda di Astro First sejak 24 Mac lalu.

Akan datang kongsi Keith, ada beberapa naskhah lakonannya dijangka menemui penonton termasuk sebuah drama berjudul Demi yang diangkat daripada kisah benar.

“Drama tersebut diadaptasi daripada kisah benar. Mungkin akan ditayangkan pada Aidilfitri atau Ramadan nanti. Cerita itu sangat berat.

“Selain itu, akan datang saya menerima peranan yang sangat mencabar iaitu membawakan lima karakter dalam satu masa menerusi sebuah drama terbitan Pencil Pictures,” kongsinya.

MASIH laku? Kongsi Keith, petua untuk kekal relevan dan diterima dalam industri adalah sentiasa perlu merendah diri, berdisiplin, komitmen dan menjaga fizikal.

Watak komedi

Dalam pada itu, ketika diajak berbicara tentang watak yang digalasnya menerusi filem Autumn In Wales, aktor berusia 37 tahun itu mengakui seronok bekerja dengan barisan pelakon lain.

Kata Keith, ini merupakan kali pertama dia keluar dari kepompong kebiasaan watak cinta apabila terlibat dalam naskhah romantik komedi berkenaan di samping Eyka Farhana, Jaa Suzuran dan Wanna Ali.

“Ini pertama kali saya buat cerita romantik komedi. Tapi tak susah pun sebenarnya sebab saya dah banyak kali bekerja dengan pengarah Rahila Ali. Jadi sangat mudah untuk tahu apa yang dia mahukan.

“Pada masa sama, keserasian juga mudah dicapai bersama pelakon lain sebab mereka banyak membantu. Kami juga banyak berbincang sebelum memulakan sesuatu babak. Dalam cerita ini, ada banyak babak yang kami ubah sendiri,” katanya.

Keith membawakan watak sebagai Darwish, seorang lelaki yang sanggup menipu dan meninggalkan tunangnya, Ayra (Eyka) demi mengejar cinta Marissa (Wanna) atas kepentingan diri sendiri.

Biarpun pada awalnya berasa bimbang sekiranya gagal menjayakan watak komedi dengan baik, namun kemunculannya dalam filem berkenaan menjadi titik tolak untuk

Keith meneroka watak sebegitu dengan lebih kerap selepas ini.

“Saya memang nak cuba lagi watak sebegini sebab seronok bawa sesuatu yang berbeza daripada semua cerita yang pernah saya jayakan sebelum ini. Asyik serius saja.

“Mula-mula takut juga kalau nak buat lucu tapi jadi lawak ‘kering’. Tetapi selepas melihat hasilnya, saya rasa lega,” kata Keith teruja.

BERSAHABAT baik dengan bekas isteri sendiri, Keith akui mereka kini menjadi ibu dan bapa yang jauh lebih baik untuk kelangsungan hidup permata hati tercinta.

Kembali bertaut?

Sementara itu, pertemuan bersama pemilik nama sebenar Foo Chuan Chin itu tempoh hari membuka peluang bertanya tentang status dirinya sekarang sama ada hatinya sudah kembali terisi.

Pertanyaan tersebut ditebak selepas perkongsian Keith pada 6 Mac lalu dalam Instagramnya memaparkan dia pergi bercuti ke Sabah bersama bekas isteri, Kim Raymond dan anak mereka, Skylar Raymond Foo.

Jelas pelakon yang popular menerusi drama Ariana Rose itu, dia dan bekas isteri sememangnya baik kerana hubungan mereka menjadi semakin akrab selepas berpisah tiga tahun lalu.

Pun begitu ujar Keith, dia tidak terfikir untuk kembali menjalin hubungan dengan wanita itu dan selesa berkawan baik demi kebahagiaan dan kepentingan anak mereka.

“Saya rasa lebih baik begini (berkawan) sebab dahulu kami dah pernah mencuba sebelum cerai, jadi kenapa nak cuba lagi sekali. Bagi saya, inilah kebahagiaan dan kebanggaan kerana dapat bersama anak setiap hari. Buat masa sekarang, saya lebih fokus untuk anak sebab dia masih kecil,” ujarnya.

Untuk rekod, Keith berkahwin dengan Kim yang merupakan seorang model pada November 2015 dan dikurniakan Skylar Raymond Foo yang kini berusia lima tahun.

Bagaimanapun, rumah tangga dibina mereka tidak kekal lama apabila sah bercerai pada Disember 2019.

BERBICARA tentang watak yang digalasnya menerusi filem Autumn In Wales, aktor berusia 37 tahun itu mengakui seronok bekerja dengan barisan pelakon muda.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI