fbpx

Lahirkan lebih ramai bintang badminton masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain berbakat badminton perlu lebih ramai seperi Zii Jia.
MUHAMMAD HELMEE RAMLI, WARTAWAN EKSEKUTIF

KEBANGKITAN negara-negara seperti India, Thailand dan Indonesia dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini menerusi sukan badminton perlu dipandang serius pemain-pemain Malaysia.

Apa tidaknya, sebelum ini Malaysia boleh dianggap antara kuasa besar badminton dunia selain sentiasa melahirkan pemain-pemain berstatus bintang dan sering menghiasi perlawanan-perlawanan akhir di peringkat antarabangsa.

Walaupun kita memiliki Lee Zii Jia sebagai salah seorang pemain badminton elit dunia, namun itu masih belum mencukupi memandangkan negara-negara lain memiliki lebih satu wakil dalam kelompok 20 terbaik dunia perseorangan lelaki.

Selain itu, pemain-pemain sedang meningkat naik seperti Lakshya Sen dan Kunlavut Vitidsarn wajar menjadi peringatan buat barisan pemain negara supaya sedar cabaran selepas ini akan bertambah sukar.

Bukan mahu menidakkan kemampuan pemain-pemain negara, namun penulis sekadar mahu melihat kebangkitan Malaysia dalam acara perseorangan lelaki dan tidak terlalu bergantung kepada seseorang pemain sahaja.

Umum mengetahui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedang cuba melakukan yang terbaik bagi melahirkan permata baharu dalam acara tersebut menerusi Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan ramai lagi.

Bagaimanapun, kita mahu melihat pemain-pemain ini me­nembusi kelompok 20 pemain teratas ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) seperti India, Denmark, Jepun serta Indonesia yang memiliki sekurang-kurangnya dua wakil.

Kita wajar untuk berasa bimbang selepas menyaksikan Sen bermain dengan cukup konsis­ten ketika memenangi kejohanan Terbuka Jerman selain muncul naib juara pada kejohanan Seluruh England (All England) sebelum ini.

Aksi bintang India berusia 21 tahun itu nyata memiliki masa depan cukup cerah dan diakui sendiri oleh pemain No.1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen ketika menentangnya pada perlawanan akhir All England.

“Dia (Sen) seorang pemain yang memiliki kekuatan fizikal dan mental cukup tinggi. Selain itu, Sen juga seorang pemain yang berani untuk mencuba perkara baharu dalam setiap perlawanan,” kata juara dunia 2017 itu.

Pada masa sama, pemenang kejohanan All England 2003, Muhammad Hafiz Hashim juga menyuarakan pandangannya berhubung pemain India tersebut yang dikatakan memiliki corak permainan seakan-akan Datuk Lee Chong Wei.

Sebelum ini juga, legenda badminton dunia dari China, Lin Dan dikatakan tertarik dengan corak permainan Sen sehingga melabelkan dia sebagai pencabar untuk kejuaraan dunia pada masa hadapan.

“Permainan Sen sukar dijangka kerana adakalanya dia boleh melakukan serangan selain nampak cukup yakin apabila ber­ada di dalam gelanggang. Itulah kekuatan yang dimiliki olehnya ketika ini,” ujar Hafiz.

Justeru, sudah tiba masanya pemain-pemain perseorangan lelaki Malaysia menjadikan kejayaan Sen itu sebagai iktibar selain berwaspada dengan kebangkitan pemain-pemain negara lain.

Penulis percaya menerusi latihan keras serta keyakinan yang ada dalam diri masing-masing, pemain-pemain negara mampu meletakkan kedudukan mereka dalam kelompok 20 teratas dunia.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI