fbpx

KPWKM rujuk KDN isu polis tidak terima laporan mangsa keganasan rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rina (tengah) menunjukkan buku Wanita Bangkit pada majlis pelancaran buku Wanita Bangkit di kementeriannya di sini, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan isu keluhan mangsa keganasan rumah tangga yang mendakwa sukar membuat laporan di balai polis.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya akan membawa isu berkenaan pada sesi libat urus seterusnya antara KPWKM bersama KDN.

Beliau berkata, kementeriannya sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama KDN khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu keganasan membabitkan wanita dan kanak-kanak.

“Kalau isu berkaitan dengan balai polis ini, kita akan buat semakan dahulu supaya ia dapat diatasi dan diselesaikan.

“Pada masa sama, saya menasihatkan wanita yang menjadi mangsa keganasan ini supaya terus ke hospital bagi mendapat rawatan dan dari situ pihak hospital akan keluarkan satu laporan perubatan.

“Laporan perubatan itu boleh dikemukakan sebagai bukti ketika membuat laporan di balai polis,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku ‘Wanita Bangkit’, di sini hari ini.

Rina berkata, beliau juga mahu mangsa menghubungi Talian Kasih 15999 dan Helpline FamilyCare@LPPKN, 1-800-82-0300 bagi melaporkan sebarang keganasan rumah tangga.

“Selain itu, laporan perubatan hospital juga boleh digunakan untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Perintah EPO itu boleh digunakan untuk memisahkan antara suami dan isteri supaya tidak lagi terus menjadi mangsa keganasan rumah tangga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI