LONDON – Ketua Jurulatih England, Gareth Southgate percaya penyerang prolifiknya, Harry Kane kini hanya perlu menunggu masa yang tepat untuk memecahkan rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman The Three Lions.
Bintang Tottenham Hotspur itu meledak gol ke-49 peribadinya ketika membantu England mengatasi Switzerland 2-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Wembley awal pagi semalam.
Ketika ini, Kane sudah pun memintas Gary Lineker (48 gol) dan kini hanya memerlukan empat jaringan saja lagi untuk sekurang-kurangnya menyamai rekod penjaring terbanyak yang kini dipegang Wayne Rooney dengan 53 gol.
“Namanya kini berada dalam senarai pemain yang luar biasa. Harry akan menghargai sejarah ini dan ia pasti cukup bermakna baginya. Sudah pasti dia dilihat sebagai pemain pilihan untuk memecahkan rekod itu.
“Saya tidak mahu berkata apa lagi dan dia (Kane) mahu pasukan ini beraksi sehabis baik dalam setiap perlawanan. Dia juga ada cita-cita dan mentaliti dimilikinya pantas meresap ke seluruh pasukan ini,” kata Southgate.
Pada aksi semalam, Breel Embolo terlebih dahulu membuka jaringan buat Switzerland sebelum kedudukan kembali seimbang apabila pemain pertahanan England, Luke Shaw meledak gol penyamaan sebelum Kane menyempurnakan penalti untuk menghasilkan gol kemenangan The Three Lions.
Ditanya adakah rekod itu mampu dipecahkan sebelum Piala Dunia di Qatar, November ini, Southgate menjelaskan beliau lebih gemar untuk lihat Kane melakukannya di Piala Dunia.
“Saya suka jika dia melakukannya di final Piala Dunia. Saya fikir dia mampu bersabar tetapi jaringannya di setiap perlawanan cukup hebat,” jelasnya. – AGENSI