JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) memaklumkan bahawa pemerintah telah memulakan proses transformasi ekonomi besar-besaran untuk mengubah identiti Indonesia menjadi sebuah negara industri, lapor saluran berita Liputan6.
Beliau bahkan percaya bahawa transformasi yang dilakukan tidak akan menggembirakan pihak yang sukakan import.
“Kita mesti menjadi sebuah negara dengan ekonomi yang kuat dan merdeka. Justeru, kita telah memulakan proses transformasi ekonomi secara besar-besaran, mengubah identiti daripada negara pengeksport bahan mentah kepada negara industri,’’ kata Jokowi pada Majlis Pelantikan dan Pengukuhan DPP PA GMNI untuk 2021 hingga 2026 secara maya.
Jokowi mahu Indonesia menjadi negara perindustrian yang kukuh dan mesra alam serta dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang besar.
Kata beliau, transformasi ekonomi akan mengganggu negara-negara lain yang menjadikan Indonesia sebagai pasaran yang menguntungkan.
“Ini (transformasi ekonomi) tentunya tidak menggembirakan mereka yang sukakan import kerana semuanya dibuat di Indonesia. Ini juga akan mengganggu negara lain yang merasakan Indonesia bukan pasaran yang menguntungkan bagi produk mereka,” sambung Jokowi.
Beliau menegaskan bahawa Indonesia terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja dan mana-mana negara. Bagaimanapun, Jokowi berkata, kerjasama itu tidak seharusnya bercanggah dengan kepentingan negara.
“Seboleh-bolehnya ia digunakan untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Indonesia serta memperkukuh kapasiti ekonomi negara untuk menjadi negara yang kuat dan berdaya tahan,’’ jelasnya. – Agensi