fbpx

Gaji minimum akan lonjak semangat pekerja Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SAUDARA PENGARANG,

Pengumuman pelaksanaan kadar baharu gaji minimum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia pada 19 Mac 2022 sudah tentunya menggembirakan golongan pekerja yang berada dalam kategori pendapatan B40.

Pekerja di seluruh Malaysia akan menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022. Pelaksanaan dasar ini pada 1 Mei adalah berita baik yang ditunggu-tunggu oleh golongan pekerja dan merupakan hadiah terbaik sempena Hari Pekerja yang bakal disambut.

Umum mengetahui kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet 2020. Penetapan gaji minimum ini juga selaras dengan peruntukan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang menetapkan keperluan mengkaji gaji minimum setiap dua tahun.

Pelaksanaan gaji minimum ini juga akan menjadikan kadar gaji di negara ini kompetitif dan setanding dengan negara-negara lain di rantau Asia Tenggara.

Penetapan gaji minimum ini adalah satu keputusan tepat yang telah diambil oleh kerajaan dalam usaha menjaga kebajikan golongan pekerja kategori B40 yang terhimpit dengan kesukaran kelangsungan kehidupan pasca Covid-19.

Peningkatan kos sara hidup terutamanya ketika negara berhadapan dengan ancaman Covid-19 telah menyebabkan rakyat tertekan dan terbeban. Kehilangan pekerjaan, pengurangan gaji, pembekuan kenaikan tahunan dan bonus dan pemotongan elaun seperti elaun kerja lebih masa telah menambahkan lagi beban mereka.

Justeru, penetapan gaji minimum ini dijangka akan meningkatkan kuasa beli rakyat dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan mereka.

Di samping gaji minimum yang akan dilaksanakan, bantuan-bantuan lain yang diberikan oleh kerajaan seperti Bantuan Keluarga Malaysia dan Bantuan Prihatin Rakyat turut akan membantu golongan pekerja B40.

Peningkatan kuasa beli rakyat juga akan membantu meransang ekonomi negara menerusi peningkatan permintaan barangan dan perkhidmatan domestik.

Prof. Madya Dr. Subramaniam Sri Ramalu
Pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI