Tidak sampai seminggu lagi, 1 Ramadan kembali berkunjung dan lebih unik pada tahun ini, ia akan disambut dengan lebih meriah berbanding dua tahun lalu.
Ramai yang rindu untuk menunaikan solat sunat tarawih, menikmati jamuan moreh serta juga berpeluang berbuka puasa bersama keluarga di kampung.
Pastinya golongan wanita atau para ibu adalah orang yang paling sibuk untuk menyiapkan segala persiapan tersebut.
Jangan tidak percaya, mereka juga secara sembunyi atau secara senyap-senyap sudah membuat persediaan awal untuk menyambut Aidil Fitri sejak dua, tiga minggu sebelum ini.
Mereka boleh dikatakan sebagai ‘hari raya planner’ yang mana dari awal lagi sudah merancang tema sedondon warna baju raya tahun ini, bajet keluarga untuk membeli barangan keperluan lain termasuk biskut raya, dodol, lemang, ketupat dan rendang.
Malah, mereka juga sudah mencongak duit raya untuk ahli keluarga serta tetamu yang berkunjung, kiraan perbelanjaan untuk tol dan minyak untuk pulang beraya di desa.
Lebih menarik, ada juga yang sudah mendesak ketua keluarga berbincang untuk memilih beraya di kampung isteri atau suami selain jumlah cuti yang akan diambil agar dapat berjumpa dengan adik-beradik serta saudara mara.
Begitulah wanita, kuasa pemikiran mereka melangkaui segala-galanya bagi memastikan sambutan hari raya pada tahun ini lebih ceria, meriah, selamat dan berjalan lancar.
Mereka sebenarnya adalah akauntan dan juruaudit terbaik untuk membuat bajet keluarga sepanjang bulan Ramadan yang mana kadar perbelanjaannya lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya.
Jika tiada wang simpanan atau duit poket daripada pekerjaan atau jualan sambilan, maka wang gaji bulanan juga akan cepat susut kerana terlebih berbelanja khususnya di bazar Ramadan.
Jadi tidak hairanlah pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibenarkan kerajaan baru-baru ini bakal djadikan sasaran dan penyelamat untuk berbelanja dengan lebih selesa.
Jangan tersalah kira sehingga maksimum RM10,000 dari duit simpanan hari tua itu dibelanjakan untuk beraya sakan pada tahun ini.
Kebetulan pengeluaran khas tersebut jatuh pada waktu yang sangat tepat iaitu sebelum menyambut hari raya jadi ia dapat melegakan ramai pihak.
Urus bajet dengan bijak tanpa menggunakan hawa nafsu kerana tersilap langkah, duit itu akan habis dibazirkan tanpa sempat digunakan untuk niat sebenar sebelum ini.
Akhirnya ditagih lagi kepada kerajaan untuk membenarkan pengeluaran khas dana KWSP pada episod akan datang dengan alasan, masih ramai yang hidup terseksa dengan bebanan kos sara hidup yang semakin tinggi.