KLANG – Cubaan sebuah bot pom-pom membawa 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri ketika dikejar pihak berkuasa gagal apabila dicekup kira-kira 1.6 batu nautika barat daya Sungai Janggut, Kapar di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam itu, kesemua warga Indonesia termasuk kanak-kanak lelaki berusia lima hingga 47 tahun berkenaan ditahan selepas bot mereka berjaya dipintas.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia mengesan sebuah vesel mencurigakan sedang bergerak sekitar perairan Pulau Angsa menuju ke Jeram, Kuala Selangor.
Katanya, sebuah bot ronda yang menjalankan Op Belangkas kemudian digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Anggota penguat kuasa menemukan sebuah bot sarat penumpang dan diarah berhenti namun tidak diendahkan.
“Bot itu kemudian bertindak memecut laju namun berjaya dipintas dan ditahan dalam tempoh 10 minit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, pemeriksaan kemudian mendapati 30 lelaki, 12 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berada di bot tersebut.
“Bot dan kesemua yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. -KOSMO! ONLINE