SELEPAS dua tahun tertangguh, Anugerah Telenovela kali kelapan kembali menghimpun ratusan drama terbaik yang diadaptasi daripada novel karya penulis tempatan.
Menerusi penganjuran kali ini, sebanyak 106 drama yang diterbitkan sepanjang 2020, 2021 dan 2022 dicalonkan untuk merebut 30 trofi pelbagai kategori.
Menurut Pengerusi Anugerah Telenovela, Dr. Hasan Hamzah, penganjuran anugerah diteruskan untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat industri seni kreatif tanah air khususnya dalam bidang penulisan dan penerbitan drama.
“Sebanyak 106 karya dipertandingkan dalam Anugerah Telenovela tahun ini. Semua karya tersebut merupakan himpunan sejak 2020 hingga tahun ini yang layak dan dinilai oleh pihak juri.
“Selagi jalan cerita yang diterbitkan berdasarkan adaptasi novel, semua layak disaring dan tersenarai sebagai finalis untuk merebut kemenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pelancaran Pengundian Dalam Talian Anugerah Telenovela 2020 di ibu negara baru-baru ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin. Hadir sama, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia, Dr. Ahmad Ibrahim atau Mat London dan wakil penganjur, Datuk Rosmarayu Mokhtar.
Undian
Tambah Hasan, 30 kategori tersebut termasuk Pasangan Serasi Popular, Telenovela Popular, Novel Popular dan Stesen Televisyen Terbaik.
Bagi tahun 2021 sehingga 2022, semua karya harus ditayangkan di televisyen, stesen satelit atau umum (Free To Air) serta pawagam. Bagaimanapun, tayangan dalam media sosial tidak diterima.
Pun begitu, tarikh penganjuran acara tersebut yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) masih belum ditetapkan atas sebab-sebab tertentu.
“Panel juri profesional akan mengadili kategori terbaik, manakala kelab peminat pula diberi peluang mengundi artis kegemaran bagi kategori popular.
“Pemenang tiga terbaik misalnya dan beberapa drama terbaik akan dibawa bertanding ke Anugerah Telenovela Antarabangsa pada tahun depan.
“Inisiatif itu seiring misi acara berkenaan untuk mengangkat industri kreatif tanah air ke peringkat antarabangsa sekaligus memperkenalkan karya anak tempatan di mata dunia,” katanya lagi.
Sementara itu, menurut Mat London, setiap karya yang dinilai mempunyai kriteria tertentu bagi merebut trofi kategori terbaik seperti cara penceritaan dan nilai yang disampaikan kepada umum.
“Untuk membawa sesebuah karya ke peringkat antarabangsa, kita perlu melihat naratif dan mesej yang disampaikan perlu berlandaskan kekayaan budaya, kesopanan serta amalan bangsa.
“Malah, kami juga akan memastikan tiada sebarang unsur perniruan jalan cerita daripada karya-karya luar negara.
“Barisan juri dilantik juga merupakan individu yang tidak berkepentingan dan tidak tercalon dalam mana-mana kategori dipertandingkan,” tuturnya.
Sempat mengulas mengenai drama dan filem tanah air, beliau berpendapat penggiat seni kreatif harus membanyakkan karya berteraskan budaya tempatan.
“Kita sebagai anak Malaysia perlu menghasilkan banyak drama atau filem yang mengangkat tema dan merayakan kandungan berteraskan budaya serta amalan tempatan.
“Aspek-aspek tersebut saya lihat kurang diangkat dalam pengisian drama dan filem hari ini.
“Justeru, harap para penerbit dan pengarah menekankan intipati kekitaan dan budaya kita. Semoga dapat melahirkan mimpi untuk melihat lebih banyak karya tempatan melangkah maju di luar negara,” ujar pelakon Kampung Pisang Bersiri-siri itu.
Acara anjuran bersama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan D’Ayu Pictures Sdn. Bhd. tersebut turut mendapat penajaan jenama kosmetik Yuela Gold.
Memasuki edisi kelapan, Anugerah Telenovela asalnya cuma pecahan kategori dalam Anugerah Buku Negara yang diperkenalkan pada 2005. Bermula 2015, anugerah terbabit kemudian dianjurkan secara berasingan.
Penganjuran acara tersebut jugamerupakan salah satu usaha berterusan dan konsisten YPBN yang sentiasa komited dalam mendukung hasrat kerajaan untuk merancakkan lagi industri penerbitan serta seni kreatif negara. Undian boleh dilakukan peminat menerusi laman web www.anugerahtelenovela.com.