JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz menafikan wakilnya bersikap lepas tangan berhubung aduan kes kebakaran membabitkan lima premis perniagaan di Felda Ulu Tebrau, di sini Jumaat lalu.
Amira Aisya berkata, dakwaan bahawa wakilnya memberi alasan untuk tidak menghulurkan pertolongan seperti yang tular di laman sosial adalah tidak benar.
Jelasnya, pada hari kejadian, dia tiada di kawasan namun telah menghubungi wakil komuniti di Felda Ulu Tebrau serta Pengurus Felda Ulu Tebrau untuk mengetahui keadaan.
“Saya juga berkesempatan menziarah rumah kedai yang terkesan dan Alhamdulillah, selepas itu Tuanku, Sultan Johor juga mencemar duli turun ke kawasan dan perkenan membiayai pembinaan keseluruhan rumah kedai yang terjejas.
“Saya tahu bahawa wakil saya di kawasan tersebut tidak akan berkata begitu seperti yang ditularkan, itu tidak benar.
“Ia kerana selepas Pilhan Raya Negeri (PRN) Johor, kami terus turun padang dan cuba menyelesaikan masalah rakyat yang dialami oleh penduduk setempat,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, tular dakwaan berkaitan wakilnya yang didakwa tidak bekerjasama terhadap pengaduan kes kebakaran rumah kedai di Felda Ulu Tebrau.
Amira Aisya menjadi calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di Puteri Wangsa yang mencatatkan kemenangan sulung bagi parti itu di PRN Johor. -KOSMO! ONLINE