fbpx

YBR sedia bantuan persekolahan RM220,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Megat Zulkarnain menyampaikan bantuan persekolahan kepada salah seorang kanak-kanak sempena Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan dan Bantuan Awal Pengajian yang berlansung di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, Batu Caves di sini, hari ini. - FOTO: MUHAMAD IQBAL ROSLI

GOMBAK – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan bernilai RM220,000 sempena dengan pembukaan semula sesi persekolahan yang baru sahaja dibuka.

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, peruntukan itu memanfaatkan seramai 2,200 murid sekolah rendah dan menengah sekitar Gombak dan Damansara.

“Sumbangan ini diharapkan dapat membantu mereka terutamanya yang berada dalam kalangan keluarga B40 bagi meringankan urusan kewangan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan dari segi pembelian set baju, kasut dan stoking atau beg sekolah mengikut kesesuaian masing-masing.

“Cakna dengan situasi masyarakat yang terkesan akibat gelombang Covid-19 yang melanda sejak dua tahun ini dan juga melihat kepada keadaan ekonomi yang tidak menentu, bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 bagi persiapan persekolahan sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa atau penjaga dalam membuat persiapan awal untuk anak-anak bagi memulakan sesi akademik persekolahan 2022/2023,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan bantuan YBR di Batu Caves, di sini hari ini.

Turut hadir dalam sesi penyampaian itu adalah Ketua Bahagian Operasi Menanggung Tugas Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani serta Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu, menurut beliau, sehingga kini seramai 66,399 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM7.87 juta sejak dari tahun 2018.

“Bagi tahun 2022, sejumlah RM3.0 juta diperuntukkan dalam program bantuan persekolahan.

“Bantuan yang disalurkan kepada mereka yang layak ini diharapkan dapat memberi suntikan semangat kepada anak-anak untuk terus menuntut ilmu serta sebagai tanda ikhlas YBR dalam membantu mereka yang memerlukan dalam meneruskan kehidupan,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, YBR juga telah membuat satu keputusan yang drastik dalam mesyuarat lembaga dua bulan lalu, di mana YBR sebulat suara bersetuju untuk membuka semula talian Pinjaman Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada mana-mana rakyat Malaysia yang mendapat tawaran ataupun yang sedang menjalani pengajian di peringkat pengajian tinggi.

“Ini adalah kerana kita merasakan ada kemungkinan dan kebarangkalian sewaktu mereka menerima tawaran menyambung pengajian di peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan sebagainya mungkin pada waktu itu mereka tidak memerlukan bantuan pinjaman ini.

“Tetapi, bila negara dilanda Covid-19, ramai dalam kalangan mereka yang terkesan. Justeru itu, YBR mengambil keputusan untuk buka semula permohonan ini di laman web kami bermula dari 15 Januari sehingga 15 Mac baru-baru ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI