ALOR GAJAH – Seorang lelaki warga emas maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggangi masing-masing bertembung di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Paya Rumput, di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 pagi itu, mangsa N. Sivalingam, 70, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Muhammad Nasrul Hafiz Muhammad Fairuz Tai, 23, parah dan dimasukkan ke Zon Merah Hospital Melaka.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila salah sebuah kenderaan telah menunggang secara melawan arus dari arah Rembia menghala ke lampu isyarat Paya Rumput Indah.
Katanya, ketika kejadian warga emas berkenaan menunggang motosikal jenis Honda Wave dan pemuda tersebut yang bekerja sebagai operator kilang membawa Yamaha 135LC.
“Kita dapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggangi mereka bertembung dan dipercayai salah sebuah telah menunggang secara melawan arus.
“Akibat kemalangan itu juga, kedua-dua buah motosikal berkenaan telah melanggar sebuah lagi kereta jenis Nissan Almera yang berada di lorong kiri jalan,“ katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dilakukan dan setakat ini saksi kejadian iaitu pemandu Almera berusia 39 tahun tidak dapat mengesahkan kenderaan yang melawan arus.
“Saksi (pamandu Almera) mengesahkan bahawa tidak pasti motosikal mana yang melawan arus serta tidak dapat membuat sebarang pengecaman kenderaan.
“Tiada sebarang saksi bebas dan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, hanya kesan calar di atas jalan raya lebih kurang lima meter,” katanya.
Katanya, mayat mangsa telah di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE