fbpx

Selangor benarkan rapatkan saf solat 1 April ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Solat berjemaah di masjid, surau dan musolla di seluruh Selangor dibenarkan dirapatkan saf seperti biasa mulai 1 April depan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, perkara itu dibuat selepas mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, ketetapan tersebut dibuat setelah Sultan Sharafuddin mengadakan satu rundingan bersama dengan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Pengarah JAIS, Timbalan Mufti Selangor, Pengarah Kesihatan negeri dan beberapa orang Ahli Dewan di-Raja Selangor.

“Baginda telah berkenan membuat penelitian dan memperhalusi beberapa perkara penting terutama langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan mendalam akibat jangkitan Covid-19.

“Selain itu, memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara serta masjid, surau dan musolla terus berfungsi sebagai pusat ibadah bagi umat Islam di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan, Sultan Sharafuddin turut berkenan solat tarawih pada bulan Ramadan diadakan di semua masjid, surau dan musolla di seluruh negeri ini.

Jelas Ahmad Shahzihan, solat tarawih dikekalkan untuk dilaksanakan dengan 20 rakaat dan semua aktiviti lain melibatkan masjid, surau dan musolla serta aktiviti sepanjang bulan Ramadan di seluruh Selangor juga boleh dilaksanakan seperti biasa.

“Justeru, para jemaah dikehendaki mengikut beberapa ketetapan termasuk hanya individu telah lengkap vaksinasi seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) selain mereka lengkap dua dos vaksin bagi bawah 18 tahun dibenarkan hadir ke masjid, surau dan musolla.

“Perlu sentiasa membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka. Bagi individu yang bergejala diminta menangguhkan dari menghadiri sebarang aktiviti di masjid, surau dan musolla sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah yang lain,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Shahzihan berkata, Sultan Sharafuddin menasihati rakyat negeri ini tetap berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan kebimbangan baginda terhadap penularan wabak Covid-19 masih tinggi di Selangor (10,413 maut sehingga 19 Mac lalu dengan lebih 50 peratus daripadanya adalah orang Melayu).

“Satu ketetapan secara lebih terperinci mengenainya untuk dikuatkuasakan pada 1 April depan akan dikeluarkan oleh JAIS dalam masa terdekat,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI