fbpx

Premis hiburan diserbu, RM138,000 kompaun dikenakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung warga tempatan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang manakala 111 pengunjung warga asing ditahan.

KUALA LUMPUR – Seramai 138 pengunjung warga tempatan di sebuah premis hiburan di Bangsar Baharu di sini di kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya turut menahan 111 orang warga asing terdiri daripada 71 lelaki dan 40 wanita dalam serbuan pada kira-kira pukul 10 malam itu.

“Semasa kehadiran pihak polis, seorang penjaga premis warga tempatan telah diarahkan menghentikan muzik dan menyalakan lampu bagi tujuan pemeriksaan.

“Kita telah membuat pemeriksaan ke atas 249 individu kerana melanggar syarat-syarat PPN, mereka didapati berhibur sambil minum minuman keras tanpa penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amihizam berkata, secara keseluruhannya, sebanyak RM138,000 nilai kompaun telah dikeluarkan terhadap pengunjung warga tempatan tersebut atas kesalahan ingkar SOP yang ditetapkan.

“Polis turut merampas beberapa peralatan muzik yang digunakan dan hasil semakan mendapati, premis ini telah melanggar syarat lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan kerana beroperasi dengan lesen perniagaan yang telah tamat tempoh iaitu pada 18 Mac 2022.

“Kes ini disiasat di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (PPN) 2021.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pusat hiburan dan hendaklah mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penyakit berjangkit di negara ini dapat dikawal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI