JOHOR BAHRU – Para peniaga di negeri ini sudah tidak sabar menunggu kemasukan pengembara dari negara jiran susulan pembukaan semula sempadan darat Malaysia-Singapura melibatkan individu lengkap vaksinasi pada 1 April ini.
Seorang peniaga, Redzuan Rahmat, 40, berkata, kemasukan semula kuasa pembeli dari Singapura mampu melonjakkan kembali ekonomi khususnya golongan peniaga jalanan.
Katanya, pengumuman itu merupakan berita baik yang dinantikan sejak sekian lama setelah hampir tiga tahun pintu sempadan Johor-Singapura ditutup bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
“Selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, peniaga sudah mula kembali berniaga dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, namun belum pulih sepenuhnya.
“Ramai peniaga masih bergelut dari segi kewangan terutama kami yang berniaga di jalanan. Disebabkan tempoh PKP agak panjang, jadi kita ambil masa untuk bertapak semula untuk cari modal berniaga,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kelmarin, Malaysia dan Singapura dilaporkan mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa Jumaat depan dengan sebahagian besar SOP dilonggarkan.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Nurul Huda Abdullah Sani, 36, berkata, pengumuman itu menjadi suntikan semangat buat peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 untuk bangkit meningkatkan hasil jualan masing-masing.
“Sejak pandemik ini, kita berdepan dengan pelbagai rintangan, cukup susah. Berniaga pun ada had masa dan paling utama kita juga telah kehilangan pelanggan dari Singapura.
“Kita harap ini akan berterusan, selepas sempadan dibuka, ekonomi akan kembali berjalan dengan baik,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE