PEKAN – Seorang wanita bukan sahaja kempunan mendapatkan dua utas rantai emas lelong berharga RM720 tetapi berputih mata apabila ditipu sindiket jualan emas tidak wujud sehingga mengalami kerugian sebanyak RM3,720.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula Rabu lalu selepas mangsa yang berusia 40 tahun melihat iklan penjualan pelbagai emas lelong di Facebook ketika berada di rumahnya dekat Kampung Pulau Keladi di sini.
“Mangsa berminat membeli dua utas rantai tangan fesyen bebola gantung ‘love exclusive’ yang berharga RM720 dan pada hari yang sama mangsa memasukkan wang ke akaun bank yang diberi sebanyak RM720 sebelum diminta membuat penambahan wang sebanyak RM3,000 bagi kos penebusan.
“Selepas memasukkan wang berkenaan menyebabkan mangsa berasa curiga dan mahu wangnya dikembalikan tetapi tidak dilayan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Wazir, pengadu yang gagal menghubungi suspek berasa ditipu sebelum membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, siasatan masih giat dilakukan bagi mengesan dan menahan suspek terlibat. – KOSMO! ONLINE