fbpx

Kerajaan tidak jual MySejahtera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta bahkan ia hak milik kerajaan, manakala Kementerian Kesihatan (KKM) dilantik sebagai pemilik utama aplikasi tersebut untuk pengurusan kesihatan awam negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn. Bhd. (KPISOFT) yang telah membangunkan aplikasi ini sepanjang tempoh penggunaannya dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021.

“Perkara ini adalah berdasarkan ketetapan syarikat yang telah menawarkan penggunaan aplikasi MySejahtera kepada kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran berdasarkan prinsip tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

“Sejak ia dilancarkan, penggunaan aplikasi MySejahtera adalah melalui pendekatan perisian sebagai platform perkhidmatan (SaaS). Pendekatan ini membantu kerajaan mengurangkan masa kitaran yang diperlukan untuk membangunkan satu perisian baharu susulan keperluan satu sistem khusus untuk menguruskan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam masa sama, aplikasi tersebut merupakan platform teguh dan dinamik kerana mampu menampung penambahbaikan fungsi selari dengan perkembangan semasa wabak Covid-19.

Katanya lagi, setelah tamat tempoh CSR, kerajaan pada 31 Mac tahun lalu bersetuju supaya perkhidmatan MySejahtera diteruskan dan ia diguna pakai kerana keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya.

“Sehubungan itu, kerajaan meneruskan kerjasama dengan pihak syarikat dalam melaksanakan peningkatan fungsi MySejahtera sehingga apa yang digunakan pada hari ini.

“MySejahtera kini mempunyai lebih 10 modul serta sebanyak 38 juta pengguna berdaftar terdiri daripada warga negara, bukan warga negara dan pengembara,” ujarnya.

Khairy Jamaluddin berkata, keputusan kerajaan pada 26 November tahun lalu turut menetapkan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan keahlian terdiri daripada agensi pemegang taruh berkaitan bagi melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras tatacara perolehan kerajaan.

“Skop perolehan dan pengurusan aplikasi ini antaranya merangkumi pengoperasian platform MySejahtera, pembangunan sistem termasuk pembangunan modul tambahan, penyelenggaraan, pengurusan pusat data dan perkhidmatan disediakan oleh pihak ketiga meliputi langganan ke atas perkhidmatan Google Map And Places Application Programming Interface (API) dan perkhidmatan Short Messaging Service (SMS).

“Seterusnya Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 28 Februari lalu bersetuju meluluskan permohonan KKM untuk melaksanakan perolehan bagi pengurusan aplikasi ini dan dimuktamadkan di peringkat Kementerian Kewangan. Proses rundingan ini telah dimulakan dan KKM akan memastikan due diligence dilakukan bagi memelihara kepentingan kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KKM menegaskan bahawa data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan kementerian ini sejak ia mula digunakan manakala, segala pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan KKM.

“Dalam hal ini, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa. Sehubungan itu, data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajan mahupun swasta.

“Selain itu, transaksi data daripada aplikasi MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan aplikasi MySejahtera sahaja.

“KKM berharap orang ramai akan terus menggunakan apliasi MySejahtera tanpa ragu-ragu. Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI