ALOR SETAR – Kedah membenarkan solat berjemaah dilaksanakan mengikut kapasiti masjid atau surau di seluruh negeri ini tanpa penjarakan fizikal selepas negara memasuki fasa endemik berkuat kuasa 1 April ini.
Ia melibatkan solat fardu, solat Jumaat dan solat sunat manakala bagi aktiviti lain selain solat berjemaah, penjarakan fizikal masih diwajibkan.
Kebenaran itu turut merangkumi solat berjemaah bagi solat sunat tarawih, tahajud, witir dan lain-lain pada Ramadan ini.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Kata kenyataan itu, kehadiran ke masjid atau surau adalah tanpa had umur dan yang telah menerima dos suntikan vaksin Covid-19 secara lengkap, mengikut terma terkini Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya, wirid dan doa selepas solat dilaksanakan secara ringkas dan bersesuaian.
“Khutbah, ceramah, kuliah dan kelas pengajian dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh bersesuaian dengan penjarakan fizikal kira-kira satu meter.
“Jamuan makan, gotong-royong, kenduri, amalan ziarah kubur dan majlis akad nikah dibenarkan juga dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter,” jelasnya.
Sementara itu, sepanjang Ramadan ini, majlis berbuka puasa, sahur dan moreh dibenarkan, namun perlu melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dengan makanan digalakkan secara berbungkus. – KOSMO! ONLINE