fbpx

JSPT tahan 21 individu, 278 saman dikeluarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JSPT KL telah mengeluarkan sebanyak 278 saman dan menahan 21 individu atas pelbagai kesalahan dalam operasi di sekitar ibu negara bermula pada Jumaat hingga semalam.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 278 jumlah saman telah dikeluarkan dan 21 tangkapan telah dilakukan atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar ibu kota pada Jumaat hingga semalam.

Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dilakukan dengan kekuatan enam pegawai kanan dan 40 anggota di sekitar pusat bandar, Jalan Genting Klang, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak dan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, sebanyak 278 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 12 buah motosikal telah disita kerana mengubah suai ekzos.

“Polis turut melakukan tangkapan ke atas 21 individu yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 61 tahun atas pelbagai kesalahan seperti memandu di bawah pengaruh alkohol, menunggang motosikal secara berbahaya dan menunggang motosikal curi.

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan Balai Jinjang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, lima tangkapan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala 15 individu akan dituduh di bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“JSPT KL akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI