JAKARTA – Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia, Luhut Binsar Padjaitan mengingatkan supaya isu kehadiran Presiden Rusia, Vladimir Putin ke Indonesia bagi persidangan G20 tidak disalah ertikan, lapor laman Suara kelmarin.
Menurut Luhut, persidangan berkenaan yang dijangka berlangsung pada Oktober ini, adalah bagi membincangkan soal ekonomi dan tidak menyentuh isu politik.
Kenyataan itu susulan desakan kepada pemerintah Indonesia untuk tidak menjemput Putin ke Jakarta selaku tuan rumah persidangan itu.
“Kita tunggu dan lihat apakah perkembangan terkini kerana persidangan itu dijangka berlangsung pada bulan Oktober.
“Selain itu, perlu diingatkan bahawa G20 adalah forum ekonomi, jadi tidak ada forum politik. Buat masa sekarang, isu ini masih terlalu awal untuk diulas,” kata Luhut.
Duta Besar Ukraine ke Indonesia, Vasyl Hamianin mendesak agar Indonesia menghalang kehadiran Putin ke persidangan itu.
“Kami menyeru semua negara demokrasi untuk membantu menyelamatkan dunia daripada diktator kejam Putin. Boikot Rusia dan Putin pada semua platform antarabangsa,” kata Hamianin.
Duta Besar Rusia, Lyudmila Georgievna Vorobieva menyatakan bahawa Putin bersedia untuk hadir ke sidang kemuncak G20 di Indonesia.
“Bergantung kepada keadaan, setakat ini beliau mahu hadir ke sidang kemuncak G20,” kata Vorobieva. – Agensi