fbpx

Ratusan ikan tamban, selangat terdampar di pantai Telok Gong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai melihat ratusan ikan tamban, selangat yang ditemui terdampar di pantai Telok Gong hari ini.

 

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

ALOR GAJAH – Penduduk di Telok Gong di sini gempar apabila ratusan ikan selangat dan tamban ditemui terdampar di sepanjang pesisir pantai di kawasan itu sejak petang tadi.

Tinjauan Kosmo! Online di lokasi mendapati bangkai ikan yang terdampar mengeluarkan bau kurang menyenangkan dengan sebahagiannya isi perut dalam keadaan terburai.

Seorang nelayan, Mohamad Arshad, 76, berkata, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku sejak dia menjadi nelayan di perairan berkenaan lebih 20 tahun lalu.

Dia yang juga bekas Ketua Nelayan Telok Gong berkata, Jabatan Perikanan negeri turut menghubunginya kira-kira pukul 5 petang tadi berhubung kejadian itu.

“Saya mula-mula tidak tahu kejadian ini sehinggalah dihubungi oleh Jabatan Perikanan yang ingin mendapatkan maklumat.

“Bila saya turun (ke pantai) memang terkejut bila tengok ratusan ikan terdampar di sepanjang pantai di Telok Gong, memang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mohamad berkata, dia tidak pasti punca kejadian tersebut dan lebih menghairankan ia hanya melibatkan dua jenis ikan iaitu ikan Selangat dan Tamban.

Dalam pada itu, seorang penduduk Telok Gong, Najmi Hakim Zamri, 23, berkata, dia dan kawan-kawan yang berkunjung ke pantai itu terkejut dengan kemunculan ratusan bangkai ikan.

“Saya memang jarang ke pantai, tetapi memang peliklah kalau tiba-tiba banyak ikan mati dan terdampar di sini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosdi Abdullah turut dilihat turun padang bagi memeriksa kejadian tersebut.

“Setakat ini saya belum menerima laporan rasmi daripada pihak-pihak berkenaan.

“Namun dalam masa terdekat saya akan minta pihak Jabatan Perikanan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengemukakan laporan kerana ada dakwaan kejadian berpunca daripada pencemaran laut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI