JEDDAH – Grand Prix (GP) Arab Saudi diteruskan meskipun rata-rata pemandu Formula Satu (F1) bimbang dengan situasi serangan pengganas ke atas depoh minyak berdekatan litar perlumbaan lewat malam semalam.
Difahamkan, pemberontak Houthi Yaman mengaku bertanggungjawab atas serangan ke atas depoh minyak milik syarikat gergasi minyak dunia, Aramco kira-kira 14 kilometer dari litar perlumbaan.
Latihan kedua ditangguhkan 15 minit selepas serangan apabila ketua pasukan dan pemandu dipanggil untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden F1, Stefano Domenicali dan mengambil masa empat jam sebelum membuat keputusan akhir.
“Pihak Formula Satu telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa berikutan situasi yang berlaku pada hari ini (semalam).
“Pihak berkuasa telah mengesahkan bahawa perlumbaan Formula Satu boleh diteruskan seperti yang dirancang dan kami akan terus berhubung rapat dengan mereka dan semua pasukan memantau keadaan dengan teliti,” kata F1 dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Mohammed Ben Sulayem berkata, pihaknya akan memantau keadaan tersebut dari semasa ke semasa.
“Serangan itu menyasarkan infrastruktur dan bukan tertumpu kepada orang awam. Pastinya bukan ke arah litar perlumbaan.
“Kami telah menyemak fakta dan telah mendapat jaminan daripada peringkat tertinggi bahawa tempat ini adalah selamat,” katanya. – AGENSI